Menyokong agenda bioekonomi negara melalui pemerkasaan industri berasaskan produk semula jadi dengan memastikan keselamatan bekalan bahan mentah bioaktif.
Program Sumber Biologi (SB) memberi tumpuan kepada penyelidikan, pemuliharaan dan penggunaan tumbuhan ubatan dan aromatik (MAPs) secara lestari. Program ini digerakkan oleh Cawangan Etnobiologi (EB) dan Stesen Penyelidikan FRIM Maran (SPF Maran), yang menyokong penyelidikan etnobiologi, pemuliharaan ex situ serta pembangunan germplasma.
SB melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menyediakan perkhidmatan teknikal dalam pengenalpastian tumbuhan dan teknologi pasca tuai. Program ini juga merupakan pusat rujukan bagi penghasilan bahan tanaman herba berkualiti serta bahan mentah herba bermutu tinggi.
Program Bioprospek (BA) memfokuskan kepada penemuan, pembangunan dan pengesahan saintifik entiti bioaktif terbitan hasilan semula jadi. Program ini menawarkan khidmat nasihat dan pengujian bagi penilaian potensi, keberkesanan dan keselamatan produk herba dan hasilan semula jadi untuk aplikasi terapeutik dan kosmeseutikal.
Aktiviti penyelidikan menumpukan kepada bioaktiviti terpilih iaitu anti-oksidan (pensijilan ISO/IEC 17025:2017), anti-radang, anti-mikrob, anti-proliferatif, kawalan glukosa dalam darah dan anti-kolesterol.
Program Kawalan Kualiti Herba (KKH) menyokong kualiti, keselamatan dan pemiawaian herba serta produk berasaskan herba melalui penyelidikan, pembangunan dan perkhidmatan teknikal khusus. Program ini digerakkan oleh Cawangan Fitokimia (FK) dan Cawangan Pembangunan Produk Hasilan Semulajadi (PPH).
KKH menawarkan perkhidmatan teknikal termasuk penyulingan minyak pati, pengekstrakan menggunakan sistem CO2 fasa genting, analisis kimia bahan herba, ekstrak terpiawai, minyak pati dan gaharu, serta formulasi produk. Ujian kawalan kualiti dijalankan oleh Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semulajadi (NPQC). Makmal ini beroperasi selaras dengan akreditasi ISO/IEC 17025:2017 dan diiktiraf sebagai Makmal Panel oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Pengiktirafan ini bertujuan menyokong pendaftaran produk semula jadi serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Kemudahan Utama
- Cawangan Etnobiologi
- Taman Etnobotani
Taman Etnobotani FRIM telah mula ditubuhkan pada tahun 1995 dengan keluasan menghampiri 1.4 ha. selepas peluasan kawasan pada tahun 2009 dan 2017. Ia terletak lebih kurang 400 m dari pintu masuk utama FRIM. Taman Etnobotani bertindak sebagai pusat pemuliharaan ex-situ serta pusat germplasma bagi tumbuhan ubatan dan beraroma (MAPS) yang digunakan oleh pelbagai etnik di Semenanjung Malaysia. Ia turut berfungsi untuk memupuk minat masyarakat umum terhadap MAPS. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 400 spesies MAPS daripada 100 famili yang dipulihara di Taman Etnobotani. Beberapa famili besar adalah Zingiberaceae (famili tepus), Rubiaceae (famili kopi), Fabaceae (famili kekacang), Euphorbiaceae (famili getah), Malvaceae (famili bunga raya) dan Rutaceae (famili limau). Beberapa pokok popular yang digunakan oleh industri seperti ramunggai (Moringa oleifera), hempedu bumi (Andrographis paniculata) dan mahkota dewa (Phaleria macrocarpa) boleh dijumpai di sini.




Galeri Herba
Penubuhan Galeri Herba sebagai pusat sehenti adalah untuk mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan saintis FRIM khususnya berkaitan tumbuhan ubatan dan beraroma seperti prototaip dan produk berasaskan herba dan hasilan semulajadi serta buku-buku rujukan.
Galeri Herba telah dirasmikan oleh Dr. Ismail Hj. Parlan, Ketua Pengarah FRIM pada 14 November 2022. Galeri ini terletak di Taman Etnobotani, FRIM dan berfungsi sebagai platform untuk pelawat mempelajari dan menambah pengetahuan tentang penyelidikan dan pembangunan produk herba dan hasilan semula jadi.
- Stesen Penyelidikan FRIM Maran
- Ditubuhkan pada tahun 2000, stesen yang meliputi kawasan seluas 50 hektar ini berfungsi sebagai pusat rujukan untuk penubuhan ladang herba.
- Kerja penanaman Eurycome longifolia (tongkat ali), Orthosiphon aristatus (misai kucing) dan Morinda citrifolia (mengkudu) telah mula dilaksanakan pada tahun 2000.
- Penanaman yang seterusnya pada tahun 2003 melibatkan Labisia pumila (kacip fatimah), Mentha arvensis (pudina), Elephantopus scaber (tutup bumi) dan Curcuma domestica (kunyit) di ladang kelapa sawit.
- Setakat ini, kawasan seluas 20 hektar telah ditanam dengan pelbagai tumbuhan ubatan seperti Tinospora crispa (patawali), Aguilaria malaccensis (karas), Parkia speciosa (petai), Hopea odorata (merawan siput jantan), Khaya senegalensis (African mahogany), Peperomia pellucida (ketumpangan air), Cinnamomum zeylanicum (kayu manis), (buah arboretum), Centella asiatica (pegaga), Citrus hystrix (limau purut), Citrus aurantifolia (limau nipis), Cymbopogan citratus (serai makan), Cymbopogan nardus (serai wangi), Vitex negundo (legundi), Neolamarckia cadamba (kelampayan) dan Garcinia atroviridis (asam gelugor).
Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.
Makmal Utama
- Makmal Antimikrob (MAM)
- Makmal Biologi (MBIO)
Makmal Biologi (MBIO) di bawah Program Bioprospek, Bahagian Hasilan Semulajadi menawarkan perkhidmatan ujian bioaktiviti kepada industri herba dengan bioasai yang telah ditetapkan untuk menilai aktiviti antioksidan (Xanthine/Xanthine Oxidase Superoxide Scavenging, DPPH Radical Scavenging, Tyrosinase Inhibition, Hydrophilic Oxygen Radical Absorbance Capacity (H-ORAC), Lipophilic Oxygen Radical Absorbance Capacity (L-ORAC), Elastase Inhibition & Total Phenolic Content), antiradang (Hyaluronidase Inhibition, Lipoxygenase Inhibition, Xanthine Oxidase Inhibition & Protein Denaturation Inhibition), antidiabetis (a-Amylase & a-Glucosidase Inhibition), dan toksisiti in vitro (sitotoksisiti) pada titisan sel Vero (ginjal), WRL-68 (hati) & BALB/3T3 clone A31 (fibroblas).
- Makmal Isyarat Sel & Kajian In Vivo (MISIV)
- Makmal Penyelidikan Biomolekul (MPB)
Makmal Utama
- Makmal Fitokimia (FK)
Makmal Fitokimia (FK) di bawah Program Kawalan Kualiti Herba, Bahagian Hasilan Semulajadi, memberi fokus kepada aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan teknikal yang berkaitan dengan analisis kimia. Perkhidmatan teknikal yang ditawarkan termasuk ujian kualiti, ujian penyaringan fitokimia, analisis kandungan flavonoid, gula, polisakarida dan saponin menggunakan spektroskopi UV-Vis, analisis spektroskopi FTIR, analisis spektroskopi NMR 1D dan 2D, analisis HPLC dan LC-MS untuk pemprofilan secara kualitatif dan kuantitatif, penentuan kandungan eurycomanone dalam sampel dan produk tongkat ali menggunakan UPLC, dan analisis HPTLC untuk pemprofilan dan kualitatif. Makmal telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM), yang memenuhi keperluan MS ISO/IEC 17025:2017 untuk “Pengenalpastian akar tongkat ali dengan analisis HPLC”. Analisis ini ditawarkan kepada industri herba atau pihak yang berminat untuk memastikan bahan mentah yang digunakan dalam produk mereka adalah tulen dan tidak dicemari.
- Makmal Penyelidikan Polisakarida
- Makmal Teknologi Minyak Pati
- Makmal Formulasi Produk
- Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semulajadi (NPQC)
Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semulajadi (NPQC) merupakan sebuah makmal di bawah Program Kawalan Kualiti Herba Bahagian Hasilan Semulajadi, FRIM. Makmal NPQC telah memperolehi pensijilan daripada Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) yang memenuhi keperluan MS ISO/IEC 17025:2017 ‘Keperluan am kecekapan untuk makmal ujian dan penentukuran’ untuk ujian mikrobiologi, kimia dan fizikal. Piawaian Malaysia ini adalah setara dengan ISO/IEC 17025:2005 yang diterbitkan oleh International Organization for Standardization (ISO).
Makmal NPQC menyediakan perkhidmatan ujian kawalan kualiti bagi; a) pencemaran mikroorganisma, b) analisis logam berat, c) keseragaman berat dan d) ujian penghancuran untuk produk herba. Ujian pencemaran mikrob termasuk a) pengiraan jumlah mikrob aerobik (TAMC) dan jumlah gabungan yis/acuan kiraan (TYMC), b) mikroorganisma khusus Escherichia coli, Salmonella spp., Staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Bile tolerant gram negative bacteria and Candida albicans. Unsur-unsur seperti Kadmium (Cd), Plumbum (Pb), Merkuri (Hg) dan Arsenik (As) dianalisis dalam ujian logam berat. Kedua-dua ujian keseragaman berat dan ujian penghancuran menyasarkan produk dalam bentuk tablet dan kapsul. Ujian ini dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Dokumen Garis Panduan Pendaftaran Dadah dan Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Makmal NPQC juga telah menerima pengiktirafan dan kelulusan sebagai sebuah makmal pengujian untuk produk tradisional daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan. Oleh itu, laporan ujian kawalan kualiti yang dikeluarkan oleh NPQC, FRIM diiktiraf dan diterima oleh NPRA. Selain itu, makmal NPQC merupakan salah satu makmal di Bahagian Hasilan Semula Jadi yang telah dianugerahkan status Rakan Kongsi BioNexus (BNP) oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd.











