31 Mei 2018 (Khamis) – Xylarium Kepong (KEPw) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang ditubuhkan pada 1918 dengan 10,201 koleksi spesimen kayu telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) pada 2012 sebagai xylarium yang mempunyai koleksi kayu terbesar dan tertua di Malaysia.

Seumpama perpustakaan untuk koleksi buku dan herbarium untuk koleksi spesimen tumbuhan, xylarium merupakan pusat koleksi spesimen kayu. Koleksi-koleksi kayu yang telah ditentusahkan (authenticated sample) ini juga sesuai untuk dijadikan bahan kajian.

Koleksi kayu tertua di KEPw telah berusia 113-118 tahun. Sejak penubuhan pada 1918, KEPw memainkan peranan penting dalam pengecaman kayu dan klasifikasi kayu komersil. Pada 1925, pengambilan kayu didokumentasikan secara sistematik dan diklasifikasikan secara berasingan mengikut negeri-negeri asal dalam negara manakala kayu-kayu luar negara diperolehi secara pertukaran. Koleksi sampel kayu dari Sabah dan Sarawak bermula pada 1963.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “Spesimen kayu amat berguna sebagai bahan rujukan dalam perkhidmatan pengecaman kayu yang disediakan oleh FRIM untuk pelanggan dari dalam dan luar negara, termasuk pihak industri, pihak berkuasa dan perseorangan.”

Staf Makmal Anatomi Kayu (dari kiri) Hazlina Ali, Nordahlia dan Rohana Idris menunjukkan sijil MBR.

Nordahlia bersama pingat emas ITEX’18 yang dimenangi.

Pihak industri seperti kontraktor dan perseorangan memerlukan perkhidmatan tersebut bagi pengesahan bahan binaan serta memastikan jenis kayu yang betul dan bertepatan dengan harga daripada pembekal. Agensi-agensi kerajaan pula memerlukan perkhidmatan ini dalam menangani isu-isu seperti eksport spesies terpelihara (Jabatan Kastam Diraja Malaysia); pembalakan haram (jabatan perhutanan); kesesuaian spesies kayu dalam pembinaan (Jabatan Kerja Raya); dan penipuan penjualan bahan kayu (polis).

Sesetengah spesimen kayu dikutip bersama spesimen baucer yang disimpan di Herbarium FRIM. Ini adalah penting dalam kajian taksonomi tumbuhan kerana dapat melakukan rujukan silang (cross reference), tatanama spesimen juga dapat dikemaskini jika taksonomi tumbuhan berubah.

Baru-baru ini, Ketua Makmal Anatomi Kayu (WAL) FRIM, Dr Nordahlia Abdullah Siam telah membangunkan aplikasi MyWood-ID dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Aplikasi pengecaman kayu menggunakan telefon pintar ini dapat mengecam 100 jenis kayu tempatan dengan cepat, tepat, melibatkan kos yang rendah serta mesra pengguna. Inovasi tersebut juga memenangi pingat emas di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2018 (ITEX’18), yang diadakan pada 10-12 Mei lalu di Kuala Lumpur.

Aplikasi MyWood-ID yang dibangunkan oleh FRIM dan UTAR.

Koleksi spesimen di Xylarium FRIM.