24 Julai 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melalui Cawangan Zoologi (ZOO) telah menganjurkan Kursus Taksidermi untuk 16 staf cawangan tersebut pada 16 Julai lalu.

Kursus yang dikendalikan oleh Ketua Cawangan, Mohammad Shahfiz Azman bertujuan untuk berkongsi ilmu dan meningkatkan kemahiran peserta dalam bidang taksidermi.

Beliau telah menerangkan latar belakang, teknik-teknik serta fungsi taksidermi pada sesi pengenalan. Semasa sesi amali, para peserta diberikan peluang untuk menyediakan spesimen hidupan liar mamalia kecil seperti tikus dan tupai.

Mohammad Shahfiz menerangkan latar belakang taksidermi. 

taxidermy course

Mohammad Shahfiz menunjukkan teknik taksidermi yang betul kepada para peserta.

Taksidermi (bermaksud penyusunan kulit) ialah seni penyediaan, pemadatan dan pemasangan kulit binatang (terutamanya vertebrata) dalam bentuk seperti hidup untuk paparan atau kajian saintifik.

ZOO tersebut menjalankan kajian fauna dalam bidang taksonomi dan ekologi serta konservasi hidupan liar. ZOO memberi tumpuan kepada kajian mamalia kecil, burung, amfibia, reptilia dan ikan air tawar.

Hasil penyelidikan ZOO dikongsi bersama pihak berkepentingan melalui jurnal, prosiding, poster dan risalah serta dijadikan rujukan kepada pengurusan ekosistem yang lebih besar seperti Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Pembantu lapangan, Mohamad Hazmi Abdullah Zabir menyediakan spesimen tikus. 

Spesimen-spesimen yang dihasilkan oleh peserta kursus.