MAKLUMAT TERKINI

FRIM anjur Program Bicara Teknologi MyWood-ID
By Published On: Mei 18, 2018

18 Mei 2018 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Program Bicara Teknologi MyWood-ID pada Selasa lalu di Villa Fragrans untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang penggunaan aplikasi tersebut.

Program yang disempurnakan oleh Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM ini dihadiri 36 wakil daripada 17 agensi kerajaan yang memerlukan kemahiran pengecaman kayu dalam tugasan seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan jabatan-jabatan perhutanan negeri lain.

Dari kiri: Abd Latif menyampaikan ucapan dan Gan semasa membentangkan tentang teknologi tersebut.

Sebahagian daripada peserta di Villa Frangrans.

Abd Latif berkata, “Semoga teknologi Aplikasi MyWood-ID ini akan dapat membantu pihak berkuasa, pihak industri perkayuan serta orang awam dalam pengecaman kayu dengan cepat dan tepat; serta membantu memperkasakan ekonomi negara dan meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang berjaya menghasilkan teknologi terkini dalam sektor perkayuan.”

Dr Gan Kee Seng, Pengarah Bahagian Keluaran Hutan menerangkan latar belakang, fungsi dan kelebihan aplikasi ini ketika sesi taklimat. Beliau dibantu oleh Dr Nordahlia Abdullah Siam, Ketua Makmal Anatomi Kayu; dan Omarali Abdul Rahim, Pegawai Cawangan Teknologi Maklumat pada sesi demonstrasi dan sesi soal-jawab.

Aplikasi MyWood-ID yang menggunakan telefon pintar iPhone dan lensa khas ini telah dibangunkan oleh Nordahlia dan Omarali dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Turut hadir, Dr Ismail Harun, Timbalan KP (Penyelidikan); Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi) FRIM; dan Norhayati Nordin, Pengarah Perkhidmatan Teknikal, juga Pengarah Inovasi dan Komersialisasi.

 

Gambar berkumpulan peserta dan penganjur program bersama Abd Latif (duduk, tengah).

MyWood-ID tech talk

Omarali (paling kiri) menunjukkan fungsi aplikasi tersebut pada sesi demonstrasi.


 

Dari kiri: Omarali, Gan dan Nordahlia semasa sesi soal-jawab.


 

Maklumat Terkini