9 Julai 2018 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan ‘Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi 2018’ di kampus FRIM, Kepong pada 3 Julai lalu.

Seminar yang bertemakan, ‘Sedekad melestari legasi pengetahuan tradisi’ ini bertujuan berkongsi status semasa projek pengetahuan tradisi, pengalaman serta pendapat bersama para penyelidik, agensi pelaksana dan juga komuniti Orang Asli. Seminar ini juga diadakan untuk memupuk kesedaran berkaitan keperluan perkongsian faedah dalam aplikasi pengetahuan tradisi.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr Ismail Harun yang mewakili Ketua Setiausaha Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dato’ Sri Azizan Ahmad. Beliau turut melancarkan buku ‘Legasi Waris Rimba’ terbitan FRIM bagi menghargai penglibatan kesemua 18 subetnik Orang Asli dalam pelbagai inisiatif melestarikan pengetahuan tradisi; dan satu prototaip produk, ‘Ka-Herbs’ dari subetnik Kensiu Kampung Lubok Legong, Baling, Kedah.

 

Nor Azah (kiri) dan Ismail menyampaikan ucapan masing-masing. 

Sebahagian daripada peserta seminar. 

Ismail (kedua dari kanan) dan dif-dif jemputan lain semasa pelancaran prototaip produk. 

Seminar ini berjaya menghimpunkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada penyelidik, ahli akademik dan penggubal polisi serta wakil-wakil komuniti Orang Asli.

Ucaptama seminar disampaikan oleh Dr Nor Azah Mohamad Ali, Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM yang bertajuk, ‘Merekayasakan Ilmu Pengetahuan Tradisi ke Arah Memperkasa Sektor Bioekonomi Malaysia’. Antara topik pembentangan lain yang menarik ialah:

  • ‘Pengenalan kepada Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 atau Akta ABS 2017 [Akta 795]’ oleh Siti Nurzaliana Mohd Safari dari KATS;
  • ‘Pengetahuan Tradisi sebagai Asas dalam Penerokaan Potensi Baru Tumbuhan Ubatan’ (Dr Fadzureena Jamaludin); dan
  • ‘Dokumentasi kepada Inventori: Satu Usaha ke Arah Penyediaan Bahan Tanaman untuk Komersialisasi’ (Intan Nurulhani Baharuddin).

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perancangan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Raja Sharul Iezwan Raja Mohd Zein; Pengarah Bahagian Pembangunan Sosio Ekonomi JAKOA, Bakar Unus; Pengarah JAKOA Negeri Perak, Harulnizam Abdul Rahman; dan Tok Batin Kampung Lubok Legong, Razali Kulim.

Ismail melancarkan buku dengan diperhatikan oleh Nor Azah. 

Dari kiri: Siti Nurzaliana, Fadzureena dan Intan Nurulhani membentangkan topik masing-masing. 

Ismail (tengah) melawat booth pameran FRIM.