MAKLUMAT TERKINI

FRIM henti keluaran pas riadah, pelekat kenderaan mulai 2021
By Published On: Oktober 21, 2020

21 Oktober 2020 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) tidak akan mengeluarkan pas riadah dan pelekat kenderaan tahunan untuk pejoging dan pelawat serta hanya akan menerima pembayaran tanpa tunai (cashless) mulai 2021.

Dari 21 Ogos sehingga 20 September lalu, FRIM telah membuat bayaran balik bagi pas rekreasi tahunan 2020 setelah menerima banyak aduan berkenaan keputusannya untuk menutup kampus utama FRIM mulai 18 Mac sehingga hujung tahun ini.

Poster pengumuman.
Poster pengumuman.

“Kita masih kurang pasti bila kita akan membuka semula kampus utama FRIM. Ini bergantung kepada sama ada keadaan COVID-19 telah bertambah pulih menjelang tahun hadapan. Oleh sebab itu, kita memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan pas riadah serta pelekat kenderaan mulai tahun hadapan,” kata Ketua Pengarah FRIM Dr Khali Aziz Hamzah.

Tambah beliau, FRIM juga akan mula menerima bayaran kemasukan tanpa tunia sahaja melalui e-dompet iaitu Boost dan Touch ‘n Go eWallet.

“Wabak COVID-19 telah mengubah cara hidup kita dan memaksa kita untuk menerapkan amalan-amalan baharu bagi tujuan keselamatan. Kita harus berubah selaras dengan perkembangan semasa. Kita harus menjadikan pemakaian pelitup muka dan amalan penjarakan sosial sebahagian daripada amalan seharian kita, dan pembayaran tanpa tunai juga adalah cara yang perlu digunakan kerana ia lebih mudah, cepat dan tanpa sentuhan,” tambahnya.