9 November 2020 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengurusan penyakit dan serangga perosak ladang hutan di negeri tersebut.

MOU tersebut ditandatangani oleh Dr Khali Aziz Hamzah, Ketua Pengarah (KP) mewakil FRIM manakala JHS diwakili Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad, manakala Dr Lillian Chua, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM dan Jack Liam, Timbalan Pengarah JHS menandatangani sebagai saksi.

Upacara MOU secara maya.
Marzalina (tengah) dengan dokumen MOU yang telah ditandatangani.
FRIM sertai upacara MOU secara maya. Marzalina (tengah) dengan dokumen MOU yang telah ditandatangani.

Upacara tersebut yang diadakan sempena perasmian Seminar Perladangan Hutan Perindustrian (IPF) di Miri, Sarawak pada 4 November lalu disempurnakan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sarawak. 

KP FRIM; Dato’ Dr Marzalina Mansor, Timbalan KP (Penyelidikan) serta wakil-wakil FRIM yang lain turut menyertai majlis berkenaan secara maya (virtual).

Skop utama kerjasama tersebut termasuk R&D dalam penilaian kesan serangan penyakit dan perosak serta hubung kait dengan amalan silvikultur dan pengurusan ladang hutan ke arah peningkatan produktiviti.

Kerjasama ini merupakan satu strategi jangka panjang yang signifikan bagi FRIM dalam membantu kerajaan negeri, khasnya JHS dan pemegang-pemegang lesen ladang hutan (LPF) untuk mencapai sasaran penanaman dan juga produktiviti.