5 Jun 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi meningkatkan mutu produk herba, daya saing dan keupayaan menembusi pasaran tempatan dan global.

FRIM telah diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Hasilan Semula Jadi oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), agensi bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri berasaskan bio di Malaysia.

Empat makmal FRIM telah mendapat status BioNexus Partners (BNP) daripada Bioeconomy Corporation. Antaranya, Makmal Fitokimia (FK) menerima pengiktirafan tersebut pada 12 Oktober 2009 diikuti dengan Makmal Pembangunan Produk Herba (PPH), Makmal Farmakognosi dan Pusat Teknologi Herba (HTC) pada 5 Januari 2011. Berdasarkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan ujian, status BNP makmal-makmal tersebut telah diperbaharui sehingga ke 2021.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “BNP merupakan inisiatif Bioeconomy Corporation bagi menyokong industri bioteknologi melalui peningkatan kemudahan penyelidikan, infrastruktur dan perkhidmatan terkini makmal-makmal BNP.”

Trofi Anugerah BNP untuk AgBiotek Terbaik 2013 (kiri) dan Anugerah Kerjasama Terbaik BNP 2015.

FRIM menyertai Mesyuarat Tahunan BNP 2012.

“Program BNP ini menyediakan mekanisma jaringan kerjasama antara makmal-makmal ini dengan institut pengajian tinggi, institusi penyelidikan, taman teknologi, pusat inkubator dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan industri herba,” tambah beliau.

Selain itu, Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semula Jadi (NPQC) di bawah PPH telah diiktiraf sebagai makmal panel Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan dari 2016 sehingga 2021. NPQC dapat mengesahkan kualiti dan keselamatan produk yang dihasilkan dan secara langsung dapat mempercepatkan proses pendaftaran produk di NPRA.

Makmal FK, Farmakognosi dan NPQC telah berjaya mendapat akreditasi ISO/IEC 17025 sejak 2012.

Di samping itu, HTC telah memperoleh status Good Manufacturing Practice (GMP) dan Pensijilan Halal untuk membantu meningkatkan mutu produk herba. PPH dan Makmal Farmakognosi telah mendapat Anugerah BNP untuk AgBiotek Terbaik 2013 dan Anugerah Kerjasama Terbaik BNP 2015.

Sehingga hari ini, FRIM telah menjalankan pengujian terhadap 3,484 sampel yang diterima daripada 313 syarikat/pelanggan melalui program BNP.

Wakil makmal-makmal BNP FRIM menyertai persidangan Biomalaysia & Bioeconomy Asia Pacific 2017.

Staf NPQC menjalankan ujian keseragaman atas sampel yang diterima.