24 April 2019 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kolej Universiti Bestari (UCB) untuk bekerjasama dalam meningkatkan potensi ekonomi hasilan semula jadi menerusi input penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Abd Latif menyampaikan ucapan
sesi pertukaran dokumen
Abd Latif menyampaikan ucapan pada majlis.  Dari kiri: Nor Azah, Abd Latif, Tengku Mahmud, Sakri dan Abdul Razak semasa sesi pertukaran dokumen. 

Kolaborasi ini juga membolehkan aplikasi hasil kajian dan teknologi yang dijana melalui perkongsian kepakaran dan kemudahan, di samping meningkatkan kemahiran organisasi menerusi inisiatif pemindahan teknologi kedua-dua institusi. 

Majlis tersebut diadakan di FRIM, Kepong pada 9 April lalu. Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM menandatangani dokumen perjanjian bagi pihak institut manakala UCB diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dr Sakri Ibrahim.

Menerusi kerjasama ini, FRIM akan melaksanakan kajian bioprospek dan membangunkan teknologi sebatian penanda serta bersama-sama dengan UCB membangunkan rangkaian produk kategori makanan/minuman, nutraseutikal dan kosmeseutikal yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Gambar berkumpulan
Gambar berkumpulan semua yang hadir pada majlis. 

Turut hadir, YM Prof. Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor, Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti, UCB; Prof. Dr Sulaiman Yamin, Timbalan Naib Censelor (Akademik dan Antarabangsa) UCB; Prof. Madya Abdul Razak Salleh, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pengajian Bahasa, UCB; Dr Nor Azah Mohamad Ali, Pengarah Hasilan Semula Jadi FRIM; serta Norhayati Nordin, Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM.