20 Februari 2019 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan WFCC-MIRCEN World Data Center of Microorganisms (WDCM) semalam untuk bekerjasama dalam penyelidikan microbiologi serta membantu Koleksi Kultur Mikroorganisma FRIM (FRIM-MCC) menjadi lebih terkenal dalam kalangan komuniti saintifik di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

sesi pertukaran dokumen MOU
 Abd Latif (paling kiri) berbincang dengan Ma (tengah) dan Liu (paling kanan). Dari kiri: Nor Azah, Abd Latif, Liu dan Ma semasa sesi pertukaran dokumen MOU.

WDCM, pusat data bagi World Federation for Culture Collections (WFCC) dan Microbial Resources Centers Network (MIRCEN) merupakan pusat penyelaras data bagi lebih 700 koleksi kultur mikroorganisma dari lebih 70 buah negara.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menandatangani MOU bagi pihak FRIM manakala WDCM diwakili oleh Pengarahnya, Dr Juncai Ma pada majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Licuala. Turut hadir, Timbalan KP (Operasi) FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah; Pengarah Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr Nor Azah Mohamad Ali dan Dr Getha Krishnasamy, Ketua Makmal FRIM-MCC.

Selain pertukaran pakar, kerjasama ini juga melibatkan bantuan latihan serta usaha meningkatkan pengetahuan dalam pemuliharaan dan pengurusan sumber mikroorganisma yang memenuhi piawaian antarabangsa serta selaras dengan Protokol Nagoya. MOU tersebut juga penting bagi FRIM mengadakan kerjasama jangka panjang dengan WDCM dalam menerbitkan data sumber mikroorganisma dalam Global Catalogue of Microorganisms (GCM) untuk menyebarkan maklumat dan teknologi.

Selain itu, satu Surat Niat (Letter of Intent) juga ditandatangani antara KP FRIM dengan Prof. Dr Shuang-Jiang Liu, KP Institute of Microbiology, Chinese Academy of Sciences (IMCAS). LOI tersebut secara amnya bertujuan menyatakan hasrat kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam program bersama yang berkaitan dengan penggunaan sumber mikroorganisma secara lestari melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan yang sesuai.

IMCAS merupakan institusi penyelidikan mikrobiologi terbesar di China. Ia memiliki koleksi kultur mikroorganisma yang terbesar di negara tersebut serta mempunyai herbarium kulat terbesar di rantau Asia.

Gambar berkumpulan wakil-wakil FRIM dan WDCM
Getha (tengah) memberi penerangan tentang koleksi microorganisma FRIM
Gambar berkumpulan wakil-wakil FRIM dan WDCM selepas majlis tersebut. Getha (tengah) memberi penerangan tentang koleksi microorganisma FRIM.

FRIM-MCC menyelenggara lebih 10,000 pencilan bakteria daripada sumber hutan untuk tujuan penyelidikan dan rujukan. Ia juga menyediakan perkhidmatan latihan dalam pemencilan, krioawetan, pengendalian koleksi dan pemeriksaan kualiti kultur stok mikroorganisma serta perkhidmatan teknikal dalam pengecaman bakteria.