MAKLUMAT TERKINI

HTC FRIM terima Pensijilan GMP untuk makanan, HACCP
By Published On: April 12, 2022

1 20220310_155449

12 April 2022 (Selasa) – Pusat Teknologi Herba (HTC) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk makanan dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) baru-baru ini. Pensijilan ini merupakan pengiktirafan bagi perkhidmatan HTC dalam mengesan, menilai dan mengawal sumber pencemaran yang signifikan kepada keselamatan makanan sekaligus memastikan produk yang dihasilkan selamat untuk dimakan.

HTC menerima sijil GMP untuk makanan (MS 1480: 2019) dan HACCP MS 1480:2019 daripada badan pensijilan KIWA International Certification (M) pada 3 September 2021 manakala sijil TQCSI HACCP Code: 2022 pada 16 September 2021 bagi fasiliti pengekstrakan HTC baharu yang telah dinaiktaraf pada tahun 2020 di bawah projek RMK11.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa perkhidmatan serta produk-produk yang dihasil dan/atau diproses di HTC FRIM berkualiti, bersih dan selamat.

Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan berkata: “Saya berharap pengiktirafan ini dapat meningkatkan lagi kepercayaan dan keyakinan pengguna dan pihak industri terhadap produk hasilan FRIM serta kemampuan HTC untuk memberi perkhidmatan yang memuaskan.

“Pencapaian mutakhir ini selaras dengan usaha transformasi FRIM ke arah menjadi sebuah institusi penyelidikan terkemuka yang mampu menyediakan perkhidmatan menghasil dan mengkomersialkan produk serta teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukan hanya di peringkat kebangsaan bahkan di peringkat global.”

Pensijilan ini diperakui dunia kerana memenuhi keperluan dan kehendak global dalam isu keselamatan makanan (Food Safety). Pensijilan HACCP mendapat pengiktirafan akreditasi daripada Joint Accreditation System of Australia and New Zealand (JAS-ANZ) manakala HACCP dan GMP pula mendapat pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia).

HTC telah menerima pensijilan GMP bagi pengilangan produk tradisi berbentuk kapsul dan tablet daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2007 dan pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) pada 2017.

Sijil GMP, HACCP dan produk-produk yang berkenaan. Mesin pengekstrak skala komersial di HTC.
Pasukan HTC yang diketuai oleh Dr Zamree Md Shah (paling kanan).

Untuk makluman lanjut mengenai perkhidmatan HTC, sila hubungi: htc_enquiry@frim.gov.my atau feedback@frim.gov.my.

Maklumat Terkini