MAKLUMAT TERKINI

KBG, Taman Warisan FRIM dibuka mulai 1 Julai 2020
By Published On: Jun 11, 2020

11 Jun 2020 (Khamis) – Taman Botani Kepong (KBG) di bawah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 1 Julai 2020 dengan waktu operasi dihadkan kepada 7.00-11.00 pagi dan 4.00-6.00 petang setiap hari manakala Taman Warisan FRIM dibuka dari 7.00 pagi-6.00 petang.

Kampus utama FRIM, Kepong kekal ditutup sehingga akhir tahun walaupun beberapa aktiviti ekopelancongan berpandu akan dibenarkan mulai 1 Julai 2020.

Taman Warisan FRIM dibuka mulai 1 Julai
Maksimum 150 pejoging dibenarkan.
Taman Warisan FRIM dibuka dari 7.00 pagi-6.00 petang setiap hari mulai 1 Julai. Hanya maksimum 150 pejoging dibenarkan dalam KBG pada setiap satu masa.

Semua pengunjung FRIM perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenakan oleh kerajaan seperti ‘check-in’ dengan aplikasi MySejahtera serta suhu badan tidak melebihi 37.5ºC. Warga emas berusia lebih 60 tahun yang berpenyakit kronik atau bergejala selsema, demam dan batuk tidak dibenarkan masuk manakala kanak-kanak bawah 12 tahun perlu diiringi oleh ibu bapa atau penjaga.

Pengunjung yang hendak memasuki KBG dan Taman Warisan FRIM perlu mematuhi syarat-syarat berikut:

  • Bilangan pejoging setiap satu masa: KBG (maksimum 150 orang); Taman Warisan (tidak terhad);
  • Tempoh kemasukan: KBG (maksimum sejam sahaja bagi setiap pengunjung); Taman Warisan (tidak terhad);
  • Kawasan yang dibenarkan: Hanya jalan berturap; dan
  • Dilarang menjalankan aktiviti berkumpulan seperti taichi, zumba atau menggunakan pondok rehat serta fasiliti ‘parcourse’.

Panduan penggunaan taman-taman ini yang lebih terperinci berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan akan diumumkan kelak.

Bagi pemegang pas riadah yang tidak berpuas hati dengan penutupan kampus utama FRIM, mereka akan diberi peluang untuk memulangkan pas serta mendapat bayaran balik. Butiran lanjut akan diumumkan nanti.

Aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan di kampus utama FRIM serta syarat-syarat yang berkaitan adalah seperti berikut:

  • Lawatan berpandu (guided nature trekking): Maksimum 10 peserta setiap kumpulan melalui tempahan awal (tiga hari sebelum tarikh lawatan) dengan Pusat Informasi Pelawat (VIC) [hubungi frim_enquiry@frim.gov.my/ 03-6279 7592/7596/7649]; dan
  • Sewaan Bilik Latihan Garcinia/Morinda (kursus) dan Bilik Mesyuarat Licuala: Terhad kepada 15 orang setiap satu masa [hubungi intandalina@frim.gov.my/ 03-6279 7487].

Aktiviti fotografi perkahwinan dan sebarang penggambaran komersial serta sewaan basikal dilarang sehingga akhir tahun. Malah, rumah-rumah tetamu, Kem Perah, Kawasan Perkelahan Sungai Kroh, air terjun serta fasiliti sukan (gelanggang badminton/futsal/skuasi/padang bola dan Kelab FRIM) juga ditutup.

“Keputusan ini diambil oleh pihak pengurusan FRIM yang sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan dan keselamatan pengunjung, penduduk serta warga kerja FRIM,” kata Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Sila ikuti laman Facebook rasmi FRIM untuk perkembangan/pengumuman selanjutnya. Untuk sebarang pertanyaan, emel kepada: frim_enquiry@frim.gov.my/ feedback@frim.gov.my.