MAKLUMAT TERKINI

MB Johor lancar Persidangan Sains Tanah Malaysia
By Published On: Oktober 6, 2020

6 Oktober 2020 (Selasa) – YAB Datuk Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor telah melancarkan Persidangan Sains Tanah Malaysia 2020 (SOILS 2020) pagi tadi di Johor Bahru.

Persidangan selama tiga hari ini dianjurkan bersama oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS) dengan sokongan daripada Kesatuan Sains Tanah Antarabangsa (International Union of Soil Science, IUSS).

SOILS 2020 yang bertemakan, ‘Pengurusan Tanah ke arah Produktiviti Tanaman dan Kelestarian Alam Sekitar’ ini bertujuan mempromosikan amalan baik dan pendekatan pelbagai disiplin untuk meningkatkan hasil serta menghargai peranan dan kepentingan tanah dari pelbagai aspek ekonomi dan alam sekitar.

Dari kiri: Marzalina, Rosazlin dan Hasni berucap semasa pembukaan persidangan.
Hasni (tengah) melancarkan buku-buku FRIM dengan diperhatikan oleh Marzalina (kiri) dan Rosazlin.
Dari kiri: Marzalina, Rosazlin dan Hasni berucap semasa pembukaan persidangan. Hasni (tengah) melancarkan buku-buku FRIM dengan diperhatikan oleh Marzalina (kiri) dan Rosazlin.

Tema SOILS 2020 ini juga selaras dengan tema Hari Tanah Sedunia, iaitu ‘Keep soil alive; Protect biodiversity’ yang digariskan oleh FAO untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan ekosistem serta kesejahteraan dan kesihatan manusia dalam menangani cabaran yang semakin meningkat dalam pengurusan tanah.

Hasni juga melancarkan dua buku baharu yang dihasilkan oleh saintis FRIM, iaitu ‘Correlation of Soil Types and Tree Species Distribution for Peninsular Malaysia’ dan ‘Life Journey of Rengam under the feet’. Buku pertama bertujuan memberi panduan pemilihan spesies pokok berdasarkan kesesuaian tanah manakala buku kedua adalah buku kanak-kanak yang menceritakan kesan aktiviti manusia terhadap tanah.

Turut hadir, Dato’ Dr Marzalina Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM dan Dr Rosazlin Abdullah, Presiden MSSS.

Hasni juga menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik MSSS kepada empat penerima dari sekolah rendah dan menengah di Johor berdasarkan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka.

Sebanyak 25 topik pembentangan lisan dan 58 poster akan dikemukakan di persidangan ini oleh pakar-pakar dan penyelidik.

Sebahagian daripada peserta persidangan.
Hasni (paling kiri) melihat dengan lebih dekat pada produk semasa sesi lawatan pameran
Sebahagian daripada peserta persidangan. Hasni (paling kiri) melihat dengan lebih dekat pada produk semasa sesi lawatan pameran.

Program ini menghimpunkan lebih 100 peserta yang juga terdiri daripada pembuat keputusan dan usahawan dari Malaysia, juga dari Jepun, Fiji dan Indonesia yang menyertai persidangan melalui rakaman video atau secara ‘online’.

Seramai 15 pelajar pasca siswazah dari universiti tempatan dan luar negara yang turut menerima Dana Rangsangan IUSS untuk menyertai persidangan ini berdasarkan kualiti kertas mengenai sains tanah dan koheren penyelidikan mereka. Terdapat juga 13 booth pameran daripada syarikat-syarikat tempatan dan luar negara pada sepanjang persidangan untuk mempromosikan produk, perkhidmatan serta teknologi terkini mereka.

Para peserta juga akan menyertai lawatan selepas persidangan ke Stesen Penyelidikan RRIM Kota Tinggi di bawah Lembaga Getah Malaysia dan ladang fertigasi KEJORA di Bandar Penawar.