WARNA-WARNA FRIM

Bayabusua clarkei: Bintang kecil di halaman FRIM
No photos found matching your search criteria.

Siapa yang pernah terfikir bahawa di hutan berhampiran titian silara FRIM terdapat satu tumbuhan yang sangat istimewa? Bayabusua clarkei (King) W. J. de Wilde, merupakan salah satu genus tumbuhan yang monotip dan endemik kepada Semenanjung Malaysia, iaitu terdapat hanya satu spesies dalam genus ini dan ia tidak boleh didapati di tempat lain di dunia kecuali di Semenanjung Malaysia. Beberapa kawasan hutan yang diketahui terdapatnya spesies ini ialah di Tapah (Perak), Baling (Kedah) dan FRIM. Tergolong dalam famili Cucurbitaceae seperti timun, Bayabusua clarkei merupakan pepanjat halus dan hampir tiada ciri-ciri yang istimewa kecuali bunganya yang merah gelap dan sangat menarik serta buahnya yang berbentuk loceng, biasanya sekaki panjangnya. Pepanjat ini dinamakan bersempena mendiang Baya Busu, seorang Orang Asli Temuan yang bekerja sebagai pekerja hutan FRIM daripada tahun 1974 ke tahun 2002. Dr. de Wilde, seorang pakar botani menamakan pokok bersempena nama Baya pada tahun 1999 bagi mengenangkan keberaniannya memanjat pokok tinggi untuk mengambil buah tanpa sebarang bantuan dalam pelbagai ekspedisi botani. Populasi Bayabusua clarkei di FRIM biasanya berbunga pada penghujung tahun. Beberapa tangkai pepanjat dengan bunga merah kecil yang menarik dan daun berbentuk baji boleh dilihat dari pelantar kedua titian silara FRIM dalam bulan Disember ini.

Disediakan oleh Chew Ming Yee. Disiarkan pada 7 Disember 2012. Cuaca mingguan hujan dan ribut petir dengan suhu sekitar 24° hingga 32° C.