WARNA-WARNA FRIM
Berus bedak dan saputangan dari enam enam
Cynometra browneoides, merupakan sejenis tumbuhan malar hijau yang bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 25 meter. Pokok yang rendang ini merupakan tumbuhan landskap yang menarik dan turut berfungsi sebagai pokok teduhan. Pada kebiasaannya pokok ini ditanam di kawasan taman-taman awam, rekreasi, persekitaran padang golf dan kawasan parkir kenderaan. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok sapu tangan atau pokok enam-enam. Cynometra browneoides berasal dari Papua New Guinea dan mempunyai daun panjang berwarna hijau berkilat. Tarikan utama pokok ini ialah pucuk atau daun mudanya berwarna hijau muda keputihan yang bergantungan secara berkelompok di hujung ranting dan kelihatan seolah-olah hujung ranting yang patah atau sapu tangan jika dilihat dari jauh. Jika dilihat dari arah dekat, ia kelihatan seperti kertas-kertas yang disusun bertindihan antara satu sama lain. Daun-daun muda ini akan perlahan-lahan bertukar menjadi hijau tua berkilat sebelum munculnya pucuk baru. Bunganya tumbuh dalam bentuk jambak dan berwarna putih. Buahnya pula dalam bentuk kekacang yang mengandungi satu biji benih, bersaiz kecil tidak melebihi 7 cm, berwarna coklat dan terletak dalam gugusan yang lebat di hujung ranting. Setiap gugusan tersebut bersaiz lebih daripada 30 cm. Pokok menarik yang sedang berpucuk dan berbunga ini boleh dilihat di hadapan bangunan pentadbiran (D2) berhampiran perpustakaan. Cynometra browneoides tergolong dalam famili Leguminosae dan status pemuliharaannya masih belum diketahui.