WARNA-WARNA FRIM

Bunga gapis: Terang dan harum
No photos found matching your search criteria.

Saraca cauliflora atau gapis di FRIM dilaporkan berbunga dalam “Warna warna FRIM” pada minggu terakhir Januari 2012. Bunga Saraca cauliflora, atau nama tempatannya gapis di FRIM telah mekar sekali lagi sejak minggu terakhir bulan Januari 2014 dan akan berterusan dua hingga tiga minggu. Spesies ini juga dikenali sebagai pokok ashoka, Saraca kuning, ghandhapushpa atau sorrowless, iaitu pokok yang tidak pernah berduka. Taburannya meliputi Asia Tenggara dan mempunyai nilai ubatan yang tinggi. Saraca cauliflora tergolong dalam famili Fabaceae. Di Malaysia, pokok ini tumbuh secara semula jadi di tepi-tepi sungai seperti di tebing sungai hutan-hutan rekreasi. Bunganya yang cantik apabila kembang menjadikannya sesuai sebagai tanaman hiasan. Di FRIM, pokok-pokok gapis yang berwarna terang dan berbau harum dapat dilihat di sekitar kampus. Berhampiran Sekolah Kebangsaan FRIM terdapat dua batang pokok yang ditanam sebagai pokok hiasan. Pokok gapis yang tumbuh liar juga kelihatan berhampiran anak Sungai Kroh yang boleh dilihat dari Jalan Jelutong dan tiga batang pokok sedang berbunga di Taman Botani Kepong. Pengunjung-pengunjung titian silara FRIM boleh melihat gapis yang cantik berbunga di sepanjang laluan menuju ke titian. Terdapat empat batang pokok di laluan Rover Track, lima batang pokok di laluan denai titian Silara dan tiga pokok boleh dilihat dari atas titian. Tujuh batang pokok gapis yang sedang berbunga dengan cantik boleh dilihat berhampiran Kafe Kasah di kawasan perkelahan Sg Kroh FRIM. Gapis biasanya berbunga pada awal tahun.

Artikel oleh Noor Azlin Y. Disiarkan untuk kali pertama pada 31 Januari 2012. Suhu mingguan sekitar 24°C hingga 34°C. Dikemas kini pada 11 Feb 2014. Cuaca mingguan berawan, 24°C to 34°C.