WARNA-WARNA FRIM

Dendrocalamus giganteus: Buluh gergasi berbunga langka
No photos found matching your search criteria.

Buluh merupakan tumbuhan daripada kumpulan rumput dalam famili Poaceae dan subfamili Bambusoideae. Dendrocalamus giganteus yang terdapat di FRIM merupakan spesies buluh yang paling tinggi di dunia. Buluh ini dikenali sebagai buluh gergasi atau buluh naga. Rumpunan gergasi ini berasal dari Myanmar, Bhutan, China dan Thailand. Buluh merupakan salah satu daripada tumbuhan yang membesar dengan sangat cepat disebabkan oleh rizomnya yang unik. Ketinggian buluh gergasi ini boleh mencecah sehingga 30 m serta diameter bersaiz 15-30 cm. Daunnya pula boleh mencecah sepanjang 61 cm dan lebar 10 cm. Kebanyakan buluh jarang berbunga, kitaran pembungaan dan pengeluaran biji benih spesies pernah dilaporkan berlaku selepas setiap 29, 43 dan 49 tahun. Walau bagaimanapun, mengikut kajian fenologi yang pernah dijalankan, tempoh yang tepat untuk menunjukkan tempoh pembungaan yang sebenar masih belum dikenal pasti. Rumpunan buluh juga tidak selalunya akan mati seperti yang sering berlaku kepada spesies buluh yang lain setiap kali selepas berbunga. Dendrocalamus giganteus amat berguna untuk pembinaaan, rakit, rumah buluh, paip saluran air, papan, perabot, penghasilan kertas dan sebagainya. Rebungnya pula boleh dimakan. Sarung ruas batang buluh pula dibuat topi. Buluh gergasi ini tumbuh secara semula jadi di kawasan tanah tinggi tropika yang lembab, lereng bukit sehingga ketinggian 1,200 m. Ia juga tumbuh di kawasan tanah rendah yang kaya dengan tanah campuran dan gambut, yang berkelembapan tinggi. Di FRIM, buluh gergasi ini telah direkod pembungaannya pada tahun 1953, 1991 dan sekarang dilihat sedang berbunga lagi.

Disiarkan pada 8 November 2012. Cuaca sepanjang minggu diramalkan 24-33° C, hujan berserta ribut petir. Disediakan oleh Nor Azlin, M,F. Gambar oleh Nor Azlin, M.F