WARNA-WARNA FRIM

Peltophorum pterocarpum: Jemerlang si kuning membara
No photos found matching your search criteria.

Peltophorum pterocarpum mempunyai taburan yang meluas di seluruh dunia dan berpusat di kawasan tropika Asia Tenggara, dari Sri Lanka di barat, Indo-china di utara, keseluruhan kawasan Malesia sehingga ke utara Australia di selatan. Di Malaysia, asalnya pokok ini hidup di pantai berpasir atau berbatu dan kadangkala terdapat di kawasan bukit batu kapur yang datar, seperti yang dinyatakan oleh nama tempatannya, iaitu batai laut atau jemerlang laut. Sebagai pokok yang berasal dari habitat jenis terbuka, Peltophorum pterocarpum berupaya untuk mengatasi lalang, tahan angin, kurang diserang kumbang perosak dan boleh tumbuh daripada keratan batang. Pada masa ini, ia ditanam secara meluas di tepi-tepi jalan dan taman-taman. Peltophorum pterocarpum mempunyai banyak nama tempatan, contohnya copperpod, golden flamboyant, yellow flamboyant, yellow flame tree, yellow poinciana (bahasa Inggeris), kupang (bahasa tempatan Borneo), soga (bahasa Indonesia) dan perunkonrai (bahasa Tamil). Pokoknya bersaiz sederhana yang boleh mencapai ketinggian 15–25 m atau lebih, dengan diameter batang sehingga 1 m. Silara pokoknya berbentuk kubah dengan daun-daunnya tersusun pada lapisan permukaan, kelihatan seperti payung daun gergasi, dan amat sesuai sebagai pokok teduhan. Daun majmuknya yang bipinat agak besar dan boleh mencapai saiz 30–60 cm panjang. Walau bagaimanapun, sehelai anak daun hanya bersaiz kira-kira 8–25 mm panjang dan 4–10 mm lebar. Daripada beberapa nama Inggerisnya, kita dapat bayangkan betapa menariknya bunga yang berwarna kuning keemasan ini, menjadikannya sebagai pokok hiasan kegemaran di kawasan tropika. Selain itu, akarnya tumbuh jauh ke dalam tanah dan jarang memusnahkan laluan pejalan kaki. Pokok ini dilaporkan mula berbunga kira-kira empat tahun selepas ditanam. Setiap kuntum bunga kuningnya bersaiz hanya kira-kira 2.5–4 cm, tetapi jambak bunganya agak besar dan boleh mencapai saiz 20 cm panjang, biasanya tumbuh di bahagian atas silaranya yang berwarna hijau gelap. Buahnya berbentuk pod sepanjang 5–10 cm dan selebar 2.5 cm, berwarna keungu-unguan pada mulanya, bertukar menjadi kehitam-hitaman apabila masak. Walaupun tidak begitu berseri seperti bunganya yang bagaikan “api kuning yang membakar puncak silara”, buahnya yang berwarna gelap itu juga jelas kelihatan dari jauh. Peltophorum pterocarpum menghasilkan kayu dengan pelbagai kegunaan, seperti untuk membuat kabinet, dan agak tahan lama jika terlindung daripada dedahan cuaca. Daunnya digunakan sebagai makanan ternakan, manakala kulitnya menghasilkan pewarna kuning coklat. Di Jawa, ia digunakan sebagai ubat tradisional dan dikenali dengan nama kayu timur. Walau bagaimanapun, kayu ini jarang digunakan di Semenanjung Malaysia. Di FRIM, pokok jemerlang yang sedang berbunga boleh dilihat di hadapan Sekolah Kebangsaan Kepong, FRIM dan berhampiran Nature Education Centre, Jalan Bukit Watson. Pokok-pokok yang sedang berbunga sering boleh dilihat di pinggir-pinggir jalan di kebanyakan bandar di Malaysia. Pada masa ini pokok yang sedang berbunga boleh dilihat di pinggir jalan utama Kepong-Sg Buloh.

Semenjak awal April 2014, Peltophorum pterocarpum yang sedang berbunga dan berbuah boleh dilihat di hadapan Sekolah Kebangsaan Kepong, FRIM dan berhampiran Nature Education Centre, Jalan Bukit Watson.

Artikel oleh Chew MY. Disiarkan kali pertama pada 11 September 2012. Suhu mingguan sekitar 24°C hingga 34°C. Dikemas kini pada 3 April 2014. Cuaca mingguan adalah berawan dan hujan, suhu antara 30°C hingga 34°C.