WARNA-WARNA FRIM
Shorea singkawang merah: Sumber alternatif kacang illipe
Shorea singkawang atau nama tempatannya meranti sengkawang merah tergolong dalam Kumpulan Meranti Merah, famili Dipterocarpaceae. Spesies ini boleh didapati di Semenanjung Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Di Semenanjung Malaysia, spesies ini boleh didapati di hutan pamah dipterokarpa dan tanah lembap berhampiran sungai atau kawasan yang bersaliran baik. Ia juga boleh didapati di kawasan tanah yang beralun sehingga 400 m dari aras laut. Semaian anak benih Shorea singkawang di FRIM telah dijalankan sejak tahun 1927. Rekod pertama pokok yang ditanam di FRIM mula berbuah telah dicatatkan pada bulan Januari 1939. Di Sumatera, spesies ini merupakan salah satu sumber penting kacang “illipe” yang mengandungi lemak yang boleh dimakan, seperti buah engkabang, Shorea macrophylla. Spesies ini tergolong dalam kategori Terancam Kritikal oleh IUCN (2010). Pokok meranti singkawang yang sedang berbuah boleh dilihat di Jalan Jelutong, FRIM.
Teks dan gambar oleh Norsham Suhaina Yaakob. Disiarkan 3 November 2012. Cuaca mingguan, hujan dan ribut petir, 24°C – 32°C.