14 Julai 2016 (Khamis)- Felo Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Saw Leng Guan telah menerima anugerah Pingat Royal Botanic Garden Edinburgh (RBGE) yang berprestij pada 11 Julai lalu atas kecemerlangan beliau sebagai ahli taksonomi dan sumbangan dalam penyelidikan biodiversiti di Malaysia serta peranan yang dimainkan olehnya dalam usaha pemuliharaan selama lebih daripada 30 tahun.

Milne (kiri) menyampaikan pingat kepada Saw.

RBGE merupakan sebuah institusi penyelidikan antarabangsa terkemuka yang menyampaikan pengetahuan, pendidikan dan tindakan pemuliharaan tumbuhan di seluruh dunia.

Pingat tersebut dianugerahkan sebagai pengiktirafan sumbangan individu yang cemerlang dalam mana-mana bidang berkaitan dengan RBGE. Pingat RBGE yang pertama telah dianugerahkan kepada Dr Edward Edmund Kemp yang merupakan mantan Kurator RBGE dan Pakar Hortikultur Kanan Scotland pada Ogos 2010. Kemp yang mula berkhidmat sebagai pelajar tukang kebun di RBGE pada 1932 menerima penghormatan ini beberapa hari selepas meraikan hari jadi beliau yang ke-100. Beliau dihargai sebagai seorang yang telah memberikan “sumbangan yang besar kepada bidang hortikultur di Scotland, terutamanya di RBGE”.

Antara penerima anugerah yang lain ialah Sir Timothy Bartel Smit (2011), Prof. Dr Vernon Hilton Heywood (2013) dan Prof. Dr Peter Hamilton Raven (2015).

Saw bergambar bersama pingat yang diterima.

Pengarah RBGE, Prof. Simon Milne yang menyampaikan pingat tersebut kepada Saw pada majlis pembukaan Simposium Antarabangsa Flora Malesiana ke-10 di RBGE berkata anugerah tersebut sangat sesuai diberikan kepada seorang yang memberi inspirasi melalui kepimpinan dan kepakarannya.

Saw telah bersara sebagai Pengarah Bahagian Biodiversiti Hutan FRIM pada 2015. Pada tahun ini, beliau dilantik sebagai Felo Penyelidik FRIM untuk menyelaras kumpulan monokotiledon bagi projek Flora of Peninsular Malaysia.

Saw yang dilahirkan di Taiping merupakan ahli botani yang mempunyai pengalaman selama 34 tahun dalam bidang taksonomi, ekologi tumbuhan dan pemuliharaan flora di Malaysia. Beliau menerima Ijazah Sains Perhutanan dari Universiti Pertanian Malaysia pada 1981. Beliau juga memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang (Pure and Applied Plant and Fungal Taxonomy) dari University of Reading pada 1990 dan Ijazah Kedoktoran melalui kajian bertajuk “The taxonomy and ecology of the genus Licuala (Palmae) in Malaya” dari universiti yang sama.

Beliau mula bertugas di Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) pada 1982 sebagai Ahli Silvikultur Hutan Bukit dan seterusnya sebagai Ahli Botani Hutan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penyelidik Kanan pada 1990. Beliau dilantik sebagai Pengarah Program Pusat Biodiversiti Hutan Tropikal FRIM pada 2004.

Saw telah menerbitkan lebih daripada 130 kertas kerja dalam jurnal, artikel dan bab-bab dalam buku; serta menamakan 57 taxa tumbuhan baru. Empat spesies tumbuhan telah dinamakan sempena nama beliau iaitu Begonia lengguanii, Orchidantha lengguanii, Schizostachyum lengguanii dan Thrixspermum lengguanianum.

Pingat yang dianugerahkan kepada Saw.

Beliau turut berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa peringkat kebangsaan dan antarabangsa; antaranya sebagai Panel Pakar Pelbagai Disiplin dalamIntergovernmental Science Platform on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES); ahli lembaga International Flora Malesiana Foundation serta panel penasihat Sistem Pengurusan Penyelidikan Botani dan Herbarium (BRAHMS).

Saw juga merupakan ahli lembaga pengarang bagi jurnal seperti Kew Bulletin; Journal of Tropical Ecology; Pertanika Journal of Tropical Agriculture Science dan Blumea.

Beliau merupakan penerima Skim Biasiswa Chevening Suruhanjaya Tinggi British dan Anugerah Buku Negara 2012 bagi penerbitan “Wild Orchids of Peninsular Malaysia“. Saw juga adalah saintis FRIM ke-empat dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia pada 2013, mengikuti jejak langkah bekas Ketua Pengarah (KP) FRIM pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor; bekas KP FRIM kedua, Dato’ Dr Abd Razak Mohd Ali; dan bekas Timbalan KP FRIM, Dr Francis Ng.