16 September 2019 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan AEON Co. (M) Bhd. telah menjalankan program penanaman pokok pada 14 September lalu di Stesen Penyelidikan FRIM di Bidor (SPF Bidor), Perak.

Program yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tersebut merupakan aktiviti menanam pokok yang kedua dianjurkan oleh FRIM-AEON di SPF Bidor.

Hayashi, Tengku Zulpuri Shah dan Saifuddin Nasution berucap semasa majlis perasmian. 
Wakil-wakil KATS, FRIM dan AEON bergambar
Dari kiri: Hayashi, Tengku Zulpuri Shah dan Saifuddin Nasution berucap semasa majlis perasmian.  Wakil-wakil KATS, FRIM dan AEON bergambar bersama Saifuddin Nasution (tengah) yang menyiram pokok yang ditanam oleh beliau.

Turut hadir, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), YM Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod; Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan (BPP) KATS, Ani Fazliana Dahri@Abdul Latif; Penyelaras SPF Bidor, Dr Ang Lai Hoe serta Pengarah Urusan AEON (M), Shinobu Washizawa dan Pengarah Eksekutif Yayasan Alam Sekitar AEON, Naoki Hayashi.

Saifuddin, Tengku Zulpuri dan Abd Latif masing-masing menanam merbau (Intsia palembanica) yang baru diumumkan sebagai Pokok Kebangsaan. Abd Latif dan Ang juga memberikan taklimat mengenai pelbagai spesies pokok yang dipilih untuk penanaman di situ.

Seramai 1,000 peserta menanam sejumlah 10,000 pokok daripada 35 spesies. Mereka termasuk 350 sukarelawan Jepun, pelajar sekolah, pihak berkuasa tempatan, rakan kongsi perniagaan dan staf AEON.

Abd Latif (tengah) memperkenalkan spesies-spesies pokok
Peserta sedang menanam pokok.
Abd Latif (tengah) memperkenalkan spesies-spesies pokok yang dipilih untuk ditanam kepada Saifuddin Nasution (paling kanan) dengan diperhatikan oleh Ang (paling kiri) dan Tengku Zulpuri Shah (kedua dari kiri). Para peserta sedang menanam pokok.

Projek Pemeliharaan & Biodiversiti – Penghutanan Semula & Pemuliharaan AEON ini merupakan inisiatif menyokong usaha penghutanan semula di kawasan bekas lombong (67.9 hektar) yang bertujuan menyediakan aktiviti rekreasi alam semula jadi dan pendidikan hijau bagi generasi akan datang.

Program penanaman pokok FRIM-AEON yang pertama di SPF Bidor telah diadakan lima tahun yang lalu.