11 November 2019 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Bengkel Serantau bertajuk, ‘Domestikasi Spesies Terancam dan Endemik di Ekosistem Daratan Terosot’ pada 7 dan 8 November lalu.

Bengkel yang merupakan salah satu aktiviti pemindahan teknologi projek ASEAN-ROK Forest Cooperation (AFoCo) ini bertujuan berkongsi maklumat serta teknologi terkini dalam usaha pemuliharaan spesies terancam terutamanya di kawasan tropika di rantau ASEAN.

1
1
Abd Latif berucap pada majlis. Dari kiri: Ang, Abd Latif, Ryang dan Norwati semasa upacara penyampaian cenderahati.

Seramai 20 orang peserta dan penceramah dari negara-negara ASEAN seperti Kemboja, Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam telah menyertai bengkel tersebut yang dirasmikan oleh Datuk Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM pada 7 November lalu.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah wakil Sekretariat AFoCo, Soozin Ryang; Pengarah Bioteknologi Perhutanan FRIM, Dr Norwati Muhamad: Penyelaras Stesen Penyelidikan FRIM di Bidor (SPF Bidor), Dr Ang Lai Hoe dan Pengurus SPF Bidor, Dr Ho Wai Mun.

1
1
Gambar berkumpulan pihak penganjur, peserta bersama Abd Latif (duduk, tengah).  Ang menunjukkan salah satu spesies pokok yang ditanam di SPF Bidor.

Program tersebut membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai pusat rujukan dan latihan dalam bidang perhutanan tropika terutamanya dalam pemuliharaan spesies terancam. Di samping itu, ia merupakan platform untuk memupuk jaringan bagi menggiatkan kerjasama pemuliharaan kepelbagaian biologi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Para peserta juga melawat SPF Bidor pada hari kedua untuk melihat hasil usaha pemulihan kawasan bekas lombong bijih timah. Stesen seluas 121.5 hektar ini telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai “Hutan buatan manusia terbesar yang ditubuhkan di atas bekas lombong bijih timah” pada 2016.