MAKLUMAT TERKINI

FRIM anjur bicara teknologi
By Published On: November 19, 2018

19 November 2018 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan menganjurkan program Bicara Teknologi FRIM yang bertemakan, ‘Perhutanan Lestari: Inovasi dan Solusi’ untuk mempromosikan perkhidmatan atau kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan FRIM. Para pengurus, usahawan dan pihak industri yang berkaitan dengan perhutanan serta orang awam di Zon Utara dijemput untuk menyertai program tersebut yang akan diadakan pada 27 November di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh.

tech talk
Poster Bicara Teknologi FRIM.

“Program ini bertujuan mengetengahkan hasil dan output projek R&D FRIM, memenuhi keperluan pemegang taruh dalam bidang perhutanan dan produk hutan secara amnya serta menyediakan kaedah penyelesaian dan platform perkongsian maklumat dalam bidang tersebut,” kata Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM.

FRIM mengalu-alukan penyertaan wakil-wakil agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan bidang perhutanan; pihak berkuasa tempatan; pemaju perumahan dan pembangunan kawasan; pengusaha ladang hutan dan herba; pengurus landskap serta individu yang berminat.

Penyertaan adalah percuma berdasarkan yang dahulu didahulukan. Untuk pendaftaran atau pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Bicara Teknologi FRIM di talian: 03-6279 7162/7180 atau emel kepada frim_techtalk2018@frim.gov.my

Program bersiri yang dimulakan di Zon Utara melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak ini akan dirasmikan oleh KP FRIM.

Para peserta berpeluang untuk mengadakan usahasama dengan FRIM, melihat produk hasil R&D yang dipromosi serta memanfaatkan semua maklumat dan output R&D produk dan perkhidmatan perhutanan.

Pakar dan penyelidik FRIM daripada bahagian perhutanan dan alam sekitar; biodiversiti hutan; hasilan semula jadi; bioteknologi perhutanan serta keluaran hutan akan berkongsi hasil kajian dan perkhidmatan FRIM. Sesi ‘Business Matching’ juga akan diadakan untuk perbincangan lanjut antara peserta dengan wakil-wakil FRIM. Diskaun sebanyak 10% akan diberi bagi perkhidmatan teknikal dan perundingan yang dipersetujui pada program Bicara Teknologi FRIM ini.