10 Disember 2018 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengemukakan pandangan dan bantahannya terhadap cadangan penyahwartaan sebahagian daripada Hutan Simpan (HS) Bukit Lagong, Gombak yang terletak berhampiran kampus FRIM, Kepong. Surat bantahan rasmi FRIM dihantar ke Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada 6 Disember lalu.

“Kami telah dihubungi pihak media dan badan-badan bukan kerajaan sejak 23 November untuk menyatakan pendirian FRIM. Ada dalam kalangan pengunjung yang menuduh FRIM terlibat dalam cadangan penyahwartaan ini. Ada juga yang berpendapat bahawa FRIM mengambil keputusan menutup Denai Rover pada tahun 2016 untuk memberi laluan kepada penyahwartaan kawasan berkenaan,” kata Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod.

Beliau menjelaskan bahawa kawasan HS Bukit Lagong yang dicadangkan untuk penyahwartaan berada di luar bidang kuasa FRIM walaupun ia terletak kira-kira 3.5 km sahaja dari kampus FRIM.

“Mereka yang tinggal berhampiran kawasan terbabit yang tidak senang dengan cadangan tersebut haruslah mengemukakan bantahan secara rasmi kepada jabatan perhutanan negeri secepat mungkin dan bukan menunjukkan kemarahan mereka kepada FRIM,” katanya.

Walau bagaimanapun, FRIM mengambil positif reaksi pihak umum yang mencerminkan peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang kepentingan usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.

penyahwartaan HS Bukit Lagong
Abd Latif menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyuarakan bantahan
Abd Latif menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyuarakan bantahan kepada jabatan perhutanan negeri. Peta menunjukkan zon teras (berwarna hijau) dan penampan (biru) bagi pencalonan FRIM untuk pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Abd Latif khuatir penyahwartaan kawasan berkenaan akan menjejaskan peluang FRIM mendapat pengiktirafan status Tapak Warisan Dunia UNESCO (WHS), selain membuka ruang kepada lebih banyak permohonan penyahwartaan HS tersebut bagi tujuan pembangunan.

FRIM mula berusaha ke arah mencapai pengiktirafan WHS UNESCO pada 2014 dan pencalonan FRIM untuk Senarai Tentatif UNESCO WHS telah berjaya diterima pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) ke-41 yang diadakan di Krakow, Poland pada 7 Julai 2017.

HS Bukit Lagong merupakan zon penampan bagi pemuliharaan kawasan FRIM seluas 544-hektar yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Warisan Semula Jadi pada tahun 2009 serta diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2012.

Antara lain, FRIM berpendapat bahawa keseluruhan HS Bukit Lagong perlu dikekalkan kerana:

  • Ia merupakan tempat tadahan air penting yang membekalkan air kepada kawasan sekitarnya;
  • Pembangunan kawasan yang terletak di cerun yang curam ini akan meningkatkan lagi risiko kejadian tanah runtuh dan banjir; serta
  • Pembangunan yang dicadangkan juga akan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran.

Penyiasatan awam atau public hearing sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mendapatkan maklum balas serta bantahan terhadap cadangan pengeluaran tanah seluas 28.3 hektar dari HS Bukit Lagong. Notis penyiasatan awam telah disiarkan pada 23 November bagi menjemput semua pihak yang berkepentingan di Daerah Gombak untuk menyuarakan bantahan mereka dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyiaran notis tersebut.