13 Mac 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Golden Pharos Berhad (GPB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk melaksanakan kerjasama pembangunan dan penyelidikan serta memastikan pembekalan bahan mentah khususnya bagi Program Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS).

Majlis yang diadakan di Wisma Darul Imam, Kuala Terengganu pada 7 Mac lalu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

1
1
Abd Latif (kiri) dan Ahmad Razif menyampaikan ucapan. Para hadirin pada majlis tersebut.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mewakili FRIM dalam menandatangani MOU manakala GPB pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Mohd Zamshari Abdul Rahman, Pengarah Urusan FRIM PCS yang juga Pengarah Kewangan FRIM serta Zulkifli Omar, Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat GPB turut menandatangani MOU tersebut sebagai saksi.

Abd Latif berkata: “Kerjasama tersebut merupakan satu usaha penting selaras dengan matlamat kerajaan dalam memacu agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.”

“Kerjasama strategik ini diadakan bagi menangani masalah kekurangan bekalan bahan mentah yang sering dihadapi oleh pengusaha perabot tempatan. Ia akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan berterusan, termasuk kayu bergergaji serta mana-mana bahan mentah yang bersesuaian bagi pengusaha perabot Bumiputera yang terlibat dengan Program FRIM PCS,” tambah Abd Latif.

1
Gambar berkumpulan selepas majlis, (dari kiri) Mohd Zamshari, Mohd Amim, Rosli, Abd Latif, Mohd Zubir, Ahmad Razif, Muhammad Pehemi, Ahmad Nadzarudin, Ahmad Fadzil dan Zulkifli.

FRIM PCS ditubuhkan pada 2013 untuk meningkatkan daya saing industri perabot tempatan bagi menghasilkan produk berkualiti secara konsisten serta mematuhi keperluan standard dan memenuhi kehendak pelanggan bagi menguasai pasaran tempatan dan menembusi perdagangan antarabangsa. FRIM PCS telah diakreditasikan pada 2014 sebagai Badan Pensijilan Produk oleh Jabatan Standard Malaysia berdasarkan MS ISO/IEC 17065: 2012 (Penilaian Pematuhan: Keperluan Untuk Badan-Badan Yang Mengesahkan Produk, Proses dan Perkhidmatan).

Turut hadir, Dato’ Mohd Zubir Embong, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu; Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri merangkap Pengerusi Kumpulan GPB; Dato’ Sri Mohd Amim A. Wahab dan Datuk Wira Rosli Mat Hassan, Ahli Institut FRIM; Hashim W. Samsi, Ketua Pasukan Teknikal FRIM PCS; dan Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.