MAKLUMAT TERKINI

FRIM jadi tuan rumah hari keluarga KASIH Malaysia
By Published On: Ogos 19, 2019

19 Ogos 2019 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjadi tuan rumah Hari Keluarga Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) pada 17 Ogos lalu. KASIH Malaysia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh isteri-isteri menteri dan timbalan menteri Malaysia.

menyampaikan ucapan masing-masing
bergambar bersama pokok yang ditanam oleh Mahathir pada 2015
Dari kiri: Abd Latif, Siti Hasmah dan Anne James menyampaikan ucapan masing-masing manakala Noor Azlin (paling kanan) memberikan taklimat mengenai FRIM.  Abd Latif, Siti Hasmah (ketiga dan keempat dari kanan) dan lain-lain bergambar bersama pokok yang ditanam oleh Mahathir pada 2015. 

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selaku Pengerusi KASIH Malaysia. Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM dijemput menyampaikan ucapan alu-aluan serta memberi penghargaan kepada KASIH Malaysia manakala Dr Noor Azlin Yahya, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM memberi taklimat mengenai ‘FRIM Biodiversity and Environment Education’.

Anne James Sivarasa, Timbalan Ketua Biro Kesejahteraan Keluarga KASIH Malaysia yang turut menyampaikan taklimat mengenai program tersebut berkata FRIM dipilih khususnya untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya pemuliharaan dan penjagaan hutan dan alam sekitar, selain merapatkan hubungan  kekeluargaan dalam kalangan ahli KASIH Malaysia. Seterusnya, para peserta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan termasuk lawatan berpandu ke denai alam dan ‘Treasure Hunt’ yang dikendalikan oleh Pusat Informasi Pelawat (VIC) serta terrarium, kokedama dan trampoline.

Tun Dr Siti Hasmah juga membuat lawatan dengan panduan oleh Abd Latif, Dr Noor Azlin dan pegawai media, Lim Chung Lu ke kawasan sekitar Bangunan Pentadbiran FRIM yang bersejarah. Antara lain, beliau dibawa ke lokasi dua pokok yang ditanam oleh Perdana Menteri (PM), YAB Tun Dr Mahathir Mohammad pada tahun 1984 dan 2015.

Tun Dr Mahathir tiba di kampus FRIM untuk menyertai program tersebut pada jam 1.00 petang. Menurut KP FRIM, kehadiran PM ini amat bersejarah buat FRIM kerana beliau merupakan satu-satunya PM yang telah melawat FRIM sebanyak tiga kali. Ketika lawatan pertamanya ke FRIM pada 11 Jun 1984, beliau telah menyokong penubuhan FRIM sebagai badan berkanun selain mencadangkan agar FRIM dibangunkan sebagai sebuah destinasi ekopelancongan. Bertitik tolak daripada itu, FRIM menjadi sebuah badan berkanun sepenuhnya pada 1985 dan melaksanakan aktiviti-aktiviti penyelidikan yang menyumbang kepada pemuliharaan dan pengurusan hutan, serta industri perhutanan negara sehingga hari ini.

menyambut ketibaan Mahathir
Hari keluarga KASIH Malaysia
Abd Latif menyambut ketibaan Mahathir.  Gambar berkumpulan semua peserta dan penganjur program bersama Mahathir dan Siti Hasmah. 

Program berakhir dengan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata serta sesi bergambar bagi semua penganjur, peserta dan petugas bersama-sama dengan Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir.