MAKLUMAT TERKINI

FRIM, Koperasi FELCRA meterai perjanjian kolaborasi merakyatkan hasil R&D
By Published On: April 9, 2021

9 April 2021 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memeterai perjanjian kolaborasi dengan Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Gugusan Bayai Berhad (KPRFGB) untuk merakyatkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM bagi membantu menambah pendapatan kumpulan B40 yang merupakan ahli-ahli koperasi tersebut.

Sesi pertukaran dokumen perjanjian antara kedua-dua pihak ini telah diadakan pada 6 April lalu di Kampung Serting Ulu, Simpang Pertang Negeri Sembilan sempena perasmian Program ‘Merakyatkan Hasil R&D FRIM melalui Pemindahan Teknologi bagi Projek Penanaman Herba Terpilih Secara Sistem Selingan untuk Penghasilan Produk Berkualiti Tinggi’ oleh Dr Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM yang mewakili Dr Khali Aziz Hamzah, Ketua Pengarah FRIM.

Dari kiri: Norwati, Zainudin dan Zainul Anzaid.
Sesi pertukaran dokumen.
Dari kiri: Norwati, Zainudin dan Zainul Anzaid menyampaikan ucapan masing-masing. Dari kiri: Farah Fazwa, Zainudin, Norwati dan Zainul Anzaid selepas sesi pertukaran dokumen.

Kolaborasi ini adalah untuk projek di bawah geran Malaysia Social Innovation (MySI) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diketuai oleh Dr Farah Fazwa Md Ariff, Ketua Program Membaik Biak Tumbuhan FRIM dengan jumlah dana sebanyak RM260,000.00.

Majlis ini turut dihadiri Dr Mohd Zaki Abdullah, Pengarah Bioteknologi Perhutanan FRIM; Mahmudin Salleh, Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM; Liza Ismail, Pengarah Pentadbiran FRIM; Dr Fadhilah Zainudin, Ketua Program Inovasi dan Inkubasi FRIM; Zainul Anzaid, Pengurus Besar Pengurusan Institusi Peserta FELCRA Berhad; Dato’ Ibrahim Abdullah, Pengerusi Angkasa Negeri Sembilan dan Zainudin Kalam, Pengerusi KPRFGB.

Norwati juga merasmikan rumah teduhan projek ini serta upacara simbolik penanaman kacip fatimah, limau kasturi dan serai makan bersama-sama dengan tetamu jemputan yang lain.

Sesi menanam serai.
Gambar berkumpulan.
Wakil-wakil FRIM menanam serai. Gambar berkumpulan pihak penganjur bersama para peserta program.

Lanjutan daripada majlis perasmian ini, bengkel pemindahan teknologi anjuran FRIM untuk peserta-peserta KPFRGB telah diadakan pada 7-8 April.

Seramai 100 peserta akan terlibat dalam projek ini dan teknologi FRIM yang akan dipindah kepada mereka adalah:

  • Klon kacip fatimah hasil R&D
  • Klon superior limau kasturi
  • Teknik pembiakan
  • Teknik penjagaan dan penyelenggaraan
  • Teknik penanaman di ladang integrasi

Sebanyak 23,000 kacip fatimah, 1,700 limau kasturi dan 6,600 serai akan ditanam dalam program ini.