MAKLUMAT TERKINI

FRIM pastikan mesin kejuruteraan kayu vintaj terus berfungsi
By Published On: Januari 11, 2019
kejuruteraan kayu vintaj terus berfungsi

FRIM pastikan mesin kejuruteraan kayu vintaj terus berfungsi

3 Januari 2019 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya memastikan peralatan kejuruteraan kayu vintaj iaitu Buckton universal testing machine masih berfungsi dan digunakan untuk ujian kayu dengan membuat beberapa pengubahsuaian.

Mesin berusia 97 tahun ini dipercayai hanya tinggal satu unit sahaja di dunia. Ia masih berada dalam keadaan baik sehingga hari ini disebabkan kepandaian Dr Mohamad Omar Mohamad Khaidzir, yang merupakan Ketua Makmal Kejuruteraan Kayu FRIM (TEL).

Mohamad Omar bergambar dengan mesin ujian universal Buckton
Mohamad Omar memberi penerangan tentang kajian yang dijalankan di TEL
 Mohamad Omar bergambar dengan mesin ujian universal Buckton.  Mohamad Omar memberi penerangan tentang kajian yang dijalankan di TEL kepada pelawat.

Dengan minatnya terhadap penulisan perisian dan bidang elektronik, Mohamad Omar telah mencipta sistem berkomputer bagi membolehkan mesin tersebut beroperasi secara automatik dalam menjalankan ujian spesimen kayu.

Semasa zaman penjajahan Inggeris, banyak spesies kayu-kayan tempatan dikenal pasti dan dikategorikan oleh kerajaan British untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Pada awal tahun 1920, Makmal Penyelidikan Kayu (TRL) telah ditubuhkan di Sentul, Kuala Lumpur untuk menjalankan penyelidikan terhadap sifat mekanik kayu di Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada kemudahan ujian bagi Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, yang merupakan badan yang menyediakan perkhidmatan keretapi.

TRL menilai kekuatan mekanikal kayu, kecekapan menggergaji serta ketahanan kayu-kayu balak Malaya. Ujian ini diperlukan untuk penyelenggaraan kayu landasan keretapi, papan tanda kereta api, jambatan, gerabak kereta api dan bangunan-bangunan stesen.

TEL merupakan bahagian kejuruteraan TRL yang menjalankan ujian-ujian seperti lenturan statik, ketegangan selari dengan ira, pemampatan serta ricihan selari dengan ira; pemampatan tegak lurus dengan ira; dan ujian kekerasan Janka.

Pada tahun 1951, kemudahan ujian di Sentul dipindahkan ke bangunan baharu TRL di kampus Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) di Kepong. Semenjak dari itu, penyelidikan berkaitain dengan produk hutan dan perhutanan diintegrasikan dalam kampus yang sama.

Data berkaitan kekuatan dan sifat keanjalan kayu balak Tanah Melayu yang dihasilkan oleh TEL tersebar luas di seluruh dunia, terutamanya ke negara-negara berbahasa Inggeris. Malah, perdagangan antarabangsa kayu di seluruh dunia, terutamanya penentuan harga tan berbanding kekuatan dan ketahanan kayu dipengaruhi oleh nilai-nilai yang dihasilkan melalui ujian yang dibuat di TEL.

Semenjak era British lagi, TEL telah banyak menyokong industri pembinaan Malaysia melalui ujian dan penilaian kekuatan kayu bagi unsur-unsur struktur, kerja-kerja pembentukan, tebing bumbung, lajur, rasuk, lantai dan sebagainya.

Berdasarkan data ujian TEL, beberapa standard seperti siri MS544 telah disediakan untuk membantu para jurutera, arkitek, kontraktor dan agensi-agensi kejuruteraan dalam penggunaan kayu dengan cara yang paling cekap dan selamat untuk tujuan pembinaan. Melalui penemuan makmal ini, piawaian berkenaan dapat dibuat selaras dengan piawaian antarabangsa yang lain.

Kini, makmal tersebut mula menggunakan teknologi baru seperti Ujian/Penilaian Non-Destructive terhadap sifat-sifat kayu agar setiap kepingan kayu dapat dinilai dari segi keupayaan mekanikalnya tanpa merosakkan kayu berkenaan bagi memastikan keselamatan orang awam.  

Gambar bangunan-bangunan TRL
Ujian bebanan yang dijalankan
Gambar bangunan-bangunan TRL baharu dalam bulatan merah. TRL dinamakan Bahagian Keluaran Hutan pada 1974.  Ujian bebanan yang dijalankan ke atas model struktur bumbung kayu pada 1962.

Semenjak 1920an, TEL telah menjalankan pelbagai ujian sama ada untuk penyelidikan atau perkhidmatan berkaitan kayu tropika Malaysia. Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, TEL telah menjalankan 950 perkhidmatan ujian ke atas 4,200 sampel bagi 250 pelanggan. Sampel-sampel tersebut termasuk kayu keras tropika, bahan-bahan bukan kayu daripada buluh dan kelapa sawit, serta bahan-bahan komposit (glulam, papan lapis dan komposit kayu plastik). TEL juga telah mengendalikan 10 kursus bagi institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Untuk maklumat lanjut berkenaan TEL, sila hubungi Mohamad Omar (03-62797377) / Dr Ong Chee Beng (03-62797442) atau emel: FRIM_TEL@frim.gov.my.

Maklumat Terkini