22 Mac 2019 (Jumaat) – Warga Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah meraikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) 2019 bersama ahli-ahli Sahabat Komuniti FRIM pagi tadi di Taman Warisan FRIM.

Dalam ucapannya, Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata Taman Warisan FRIM ini amat penting kerana terdapat sejarah berkenaan pelbagai inspirasi, usaha pemulihan serta pembangunan taman yang dilaksanakan sejak 2007.

1
1
Abd Latif (kedua dari kiri) bersama (dari kiri) Mohd Zamshari, Jamal dan Adnan. Gambar Abd Latif (tengah, berbaju putih) serta wakil-wakil Sahabat Komuniti bersama (dari paling kanan) Adnan; Dr Ismail Parlan, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar; serta Khali Aziz.

Tambah beliau, taman tersebut dijangka akan memberikan kesinambungan kepada peranan, fungsi dan persekitaran FRIM selain berpotensi dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan saintifik.

Abd Latif juga memberi penghargaan kepada tiga warga FRIM, iaitu Mohd Zamshari Abd Rahman, Pengarah Kewangan; Adnan Mohammad, Ketua Program Taman Botani Kepong; dan Jamal Abdul Razak, staf Unit Pembangunan dan Kerja Awam yang telah banyak membantu dalam penubuhan dan pembangunan Taman Warisan. Mereka bersama KP kemudiannya diberi penghormatan mengabadikan cap tapak kaki atau jejak perintis kenang-kenangan sebagai acara simbolik.

1
1
Staf FRIM membersihkan kawasan Taman Warisan. Gambar berkumpulan warga FRIM, Sahabat Komuniti dan kanak-kanak Tabika FRIM.

Seramai 54 wakil Sahabat Komuniti dan 25 kanak-kanak Tabika FRIM turut menyertai aktiviti menanam 80 pokok serta menjalankan gotong-royong membersihkan kawasan. Turut hadir, Timbalan KP (Operasi), Dr Khali Aziz Hamzah; dan Pengerusi Sahabat Komuniti, Mohd Azzirin Datuk Abu Dolah.