MAKLUMAT TERKINI
FRIM raikan status tapak alam semula jadi
18 November 2010 (Khamis) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) meraikan pengisytiharan kampus utamanya di Kepong sebagai salah satu Tapak Warisan Semula Jadi Negara hari ini, dan institut ini bercita-cita untuk mendapatkan pengiktirafan status warisan dunia di masa hadapan.
“Kita sedang berusaha ke arah mencapai status warisan dunia, dan kita akan bermula dengan membangunkan satu pelan pengurusan pemuliharaan hutan FRIM yang komprehensif,” kata Ketua Pengarah FRIM Dato’ Dr Abd. Latif Mohmod selepas Majlis Pengisytiharan FRIM sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pagi tadi.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, yang diiringi isterinya, Tun Jeanne Abdullah.
Abd Latif berkata FRIM amat bangga dengan pengisytiharan status Tapak Warisan Semula Jadi ini bukan hanya kerana pengiktirafannya sebagai tempat yang berkepentingan kepada negara tetapi lebih untuk tujuan memastikan kawasannya terus berkekalan untuk kesinambungan penyelidikan serta terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Beliau berkata FRIM adalah unik kerana ianya adalah hutan tropika buatan manusia yang terbesar di dunia, dan ia berupaya menjadi contoh atau model pemulihan, pengurusan dan pemuliharaan hutan kepada dunia.
Lebih kurang 80 tahun lalu, kampus FRIM merupakan kawasan bekas lombong bijih timah, kebun sayur-sayuran dan hutan semak belukar. Semenjak tahun 1926, pegawai perhutanan serta saintis perintis telah memulakan penanaman semula pelbagai jenis spesies pokok dan memulihkan semula hutan di kawasan ini.
Melalui komitment serta usaha gigih menjalankan pelbagai penyelidikan, FRIM juga telah berjaya membangunkan kaedah-kaedah pengurusan hutan secara lestari serta membuat penambahbaikan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan produk hutan.
Dalam usaha untuk mencapai status “world class” (kelas dunia), Abdul Latif menekankan perlunya digalakkan, dipromosikan dan yang lebih pentingnya dipamerkan mentaliti bertaraf dunia dan tingkah laku yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kita perlu bermula dengan diri sendiri. Oleh sebab itulah FRIM berhasrat untuk menjadi sebuah institusi yang mesra alam mulai tahun depan. Bermula 1 Januari 2011, kami akan mengharamkan penggunaan bekas polystyrene dan beg plastic terutama untuk membungkus makanan dalam kampus FRIM.
“Warga kerja FRIM digalakkan menggunakan beg yang boleh dikitar semula dan membawa bekas-bekas makanan sendiri. Tiada lagi penggunaan pinggan mangkuk serta cawan polystyrene kerana selain daripada tidak mesra alam, penggunaan bahan ini juga tidak baik untuk kesihatan pengguna,” katanya.
Abd Latif berkata FRIM telah membangunkan beberapa prototaip bekas atau bungkusan makanan menggunakan bahan-bahan buangan pertanian seperti tandan kelapa sawit yang akan digunakan di kampus FRIM.
“Kami juga akan memeriksa dan menasihatkan pengunjung FRIM supaya membawa keluar bekas polisterin dan plastik yang mereka bawa masuk apabila mereka meninggalkan kawasan FRIM. Kami akan bertindak tegas bagi menangani masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat. Mungkin sesetengah orang akan sukar menerima pembaharuan ini kerana berasa leceh tetapi alah bisa tegal biasa. Lama kelamaan, pasti ia akan membangkitkan tabiat yang lebih bertanggungjawab kepada alam sekitar,” katanya.
Di majlis tersebut, Abdullah juga telah melancarkan buku penerbitan FRIM bertajuk, “FRIM Tapak Warisan Semula Jadi Negara” serta membuka tirai Plak Warisan yang dipasang di hadapan Muzium dan Galeri Penyelidikan FRIM.
Buku bergambar setebal 194 muka surat itu menceritakan sejarah penubuhan FRIM, termasuk perjuangan institut ini untuk melindungi kawasannya dari pencerobohan; keunikan alam sekitarnya serta kekayaan kepelbagaian biologi kampus FRIM yang seluas 485.2 hektar.
Abdullah juga menyampaikan sijil “Friends of FRIM” kepada wakil beberapa badan-badan korporat yang telah berkerjasama dengan FRIM atau menyokong usahanya dalam peningkatan kesedaran masyarakat tentang kepentingan alam semula jadi, pemuliharaan hutan, perlaksanaan pendidikan alam sekitar serta program penanaman pokok.
Selain daripada melawat Galeri Penyelidikan FRIM serta Taman Botani Kepong, Abdullah dan isterinya juga turut menanam pokok Chengal (Neobalanocarpus heimii) yang ke-5097 di FRIM sebagai tanda peringatan lawatan pertama mereka ke institut ini.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia, Hajah Nancy Shukri dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Warisan Negara, Hajah Nooraine Hj Mohd Noordin.
Tun Abdullah (kanan) menerima buku “FRIM Tapak Warisan Semula Jadi Negara” daripada KP FRIM (kiri), dengan diperhatikan oleh Tun Jeanne, Hajah Nancy dan Hajah Nooriaine. |
Mantan PM, isterinya dan tetamu lain sedang melihat Crown Shyness di Denai Salleh selepas majlis perasmian pengisytiharan tersebut. |
Tun Abdullah selepas menandatangani plak Warisan. |
Tun Abdullah dan isteri menerima sijil “Friends of FRIM” daripada Hajah Nancy selepas menanam pokok Chengal. |
Maklumat Terkini