23 April 2018 (Isnin) – Hampir 100 sukarelawan yang terdiri daripada staf Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan para pelajar dari Institut British Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL BMI) telah berkumpul di kampus FRIM, Kepong pagi semalam untuk menyertai sambutan Hari Bumi Peringkat FRIM.

Earth Day

Para pelajar dari UniKL BMI berbaris untuk pendaftaran.

Selaras dengan tema tahun ini, “Hentikan Pencemaran Plastik”, FRIM juga melancarkan semula kempen ‘Say No to Plastics and Polystyrene’. Majlis perasmian program yang diadakan di Dataran FRIM ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dr Khali Aziz Hamzah yang mengingatkan para peserta tentang kepentingan memainkan peranan masing-masing setiap hari dalam menyumbang ke arah usaha ini.

Paling kanan: Khali Aziz sebelum pelepasan peserta Kayuhan Rimba.

Beliau kemudiannya melepaskan peserta Kayuhan Rimba yang terdiri daripada ahli-ahli pasukan ‘Bike Rangers’, Perkumpulan Wanita FRIM dan Junior BioD Rangers dengan diketuai oleh Pengarah Pentadbiran FRIM, Liza Ismail dan Ketua ‘Bike Rangers’, Abdul Halim Talha. Kumpulan ini berbasikal di sepanjang jalan-jalan utama untuk mengutip plastik bagi dikitar semula. Ecocana Sports yang mula menyediakan perkhidmatan sewaan basikal kepada pengunjung FRIM pada tahun 2013 telah menaja 20 basikal untuk aktiviti tersebut.

Kumpulan pelajar UniKL BMI yang diiringi oleh Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus UniKL BMI, Azrul Hisyam Abdul Rahman telah mengadakan ‘gotong-royong’ untuk membersihkan kawasan sekitar Pusat Maklumat Pelawat FRIM (VIC) dan sepanjang laluan basikal Bukit Bujang-Taman Bidara.

Gambar semua peserta program Sambutan Hari Bumi FRIM.

Para pelajar UniKL sedang membuang dahan-dahan pokok di Bukit Bujang.