MAKLUMAT TERKINI

FRIM sedia bantu industri perhutanan Sarawak
By Published On: Jun 30, 2019
FRIM sedia bantu industri perhutanan Sarawak

FRIM sedia bantu industri perhutanan Sarawak

28 Jun 2019 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedia membantu industri perhutanan Sarawak dengan menawarkan perkhidmatan, kepakaran dan hasil penyelidikannya. Bagi mempromosikan khidmat ini, FRIM telah menganjurkan program Bicara Teknologi FRIM dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak di Kuching pada 26 Jun lalu.

Program ini merupakan platform bagi FRIM untuk berkongsi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi terkini dalam bidang perhutanan dengan para pengurus, usahawan dan pihak industri bagi menyokong pengurusan hutan dan penggunaan sumber-sumber berasaskan hutan secara lestari serta pembangunan produk hutan bermutu ke arah meningkatkan ekonomi negara.

Khali Aziz (kiri) dan Wan Lizozman berucap pada program tersebut
Gambar berkumpulan peserta dan penganjur program
Khali Aziz (kiri) dan Wan Lizozman berucap pada program tersebut.  Gambar berkumpulan peserta dan penganjur program bersama (duduk dari kiri): Khali Aziz, Wan Lizozman dan Abang Ahmad.

Majlis Perasmian Bicara Teknologi FRIM telah disempurnakan oleh Datu Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Sarawak. Turut hadir, Abang Ahmad Abang Morni, Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang mewakili Pengarahnya, Hamden Mohammad; Timbalan Ketua Pengarah (TKP) (Operasi) FRIM Dr Khali Aziz Hamzah dan TKP (Penyelidikan) FRIM, Dr Samsudin Musa.

“FRIM bersedia menjadi perantara dalam menyediakan inovasi dan solusi ke arah memastikan sumber yang dihasilkan daripada pengurusan hutan secara berkekalan dapat digunapakai semaksima mungkin. Lanjutan daripada itu diharap sektor perhutanan akan terus memberikan sumbangan dan impak yang positif ke arah perkembangan ekonomi negeri, wilayah dan negara,” kata Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dr. Khali Aziz.

Lebih 100 peserta termasuk wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta; syarikat pengusaha konsesi kawasan pembalakan; syarikat pengusaha berasaskan kayu seperti kilang papan, papan lapis, pengeringan kayu dan perabot; pihak berkuasa tempatan; pengurusan taman negeri; pengusaha resort; dan pengurus ladang hutan telah menghadiri program tersebut.

Norhayati Nordin, Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM; Samsudin; Khali Aziz, Wan Lizozman dan Abang Ahmad melawat pameran FRIM
Ketua Program Hutan Ladang FRIM, Dr Wan Rasidah Wan Ab Kadir membentangkan mengenai aktiviti R&D bioteknologi perhutanan.
Dari kanan: Norhayati Nordin, Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM; Samsudin; Khali Aziz, Wan Lizozman dan Abang Ahmad melawat pameran FRIM.  Ketua Program Hutan Ladang FRIM, Dr Wan Rasidah Wan Ab Kadir membentangkan mengenai aktiviti R&D bioteknologi perhutanan. 

Para peserta juga mengadakan perbincangan dengan pakar penyelidik FRIM dan Jabatan Hutan Sarawak tentang hasil kajian, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Pakar penyelidik FRIM turut membuat pembentangan pelbagai topik dalam skop berikut:

  • Biodiversiti dan Perhutanan & Alam Sekitar;
  • Bioteknologi Perhutanan, Hasilan Semula Jadi dan Ekonomi & Analisa Strategik; dan
  • Keluaran Hutan.

Sesi ‘Business Matching’ turut diadakan untuk perbincangan lanjut antara peserta dengan penyelidik FRIM.

Maklumat Terkini