MAKLUMAT TERKINI
FRIM tawar pakej ‘Malam di Jejantas Rimba’
1 September 2022 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan menawarkan pakej ‘Malam di Jejantas Rimba’ (Forest Skywalk @ Night) mulai 2 September 2022.
Dengan adanya pakej ini, pelawat boleh menikmati pemandangan malam sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya termasuk bangunan-bangunan mercu tanda seperti Menara KLCC, Menara KL, Menara Merdeka 118 dan The Exchange 106.
Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah (KP) FRIM telah melancarkan pakej tersebut pada 30 Ogos lalu di Taman Botani Kepong. Turut hadir, Mohd Khairul Kassim, Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Dr Norwati Muhammad, Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM serta Dr Noor Azlin Yahya, Timbalan KP (Operasi) FRIM.
Selain terkenal sebagai sebuah institusi penyelidikan dalam bidang perhutanan, FRIM juga amat popular sebagai salah satu destinasi ekopelancongan yang utama di sekitar Lembah Klang, terutamanya dalam kalangan pengunjung untuk menjalankan aktiviti rekreasi, pendidikan alam sekitar, berriadah seperti berjoging, bersenam dan berkelah dalam suasana hutan (forest ambience).
Jejantas Rimba (Forest Skywalk) merupakan salah satu produk ekopelancongan terbaharu yang menjadi kebanggaan FRIM. Projek pembinaan Jejantas Rimba ini dibiayai oleh pihak MOTAC.
Semenjak pembukaannya pada 2020, Jejantas Rimba FRIM telah menerima seramai 35,078 pengunjung. FRIM mengambil satu lagi langkah proaktif dan inisiatif untuk memperkenalkan program ‘Malam di Jejantas Rimba’ (Forest Skywalk @ Night) untuk menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.
Peserta ‘Malam di Jejantas Rimba’ dapat merasai pengalaman berjalan pada waktu malam melalui denai alam bersama jurupandu alam (nature guide) dan menikmati suasana di atas Jejantas Rimba. Pelawat berpeluang melihat, mendengar dan melalui pengalaman yang berbeza daripada waktu siang.
FRIM hanya menawarkan tiga slot ‘Malam di Jejantas Rimba’ (iaitu pada jam 8:30 malam, 9:00 malam dan 9:30 malam) pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tempahan awal perlu dibuat dengan Pusat Informasi Pelawat (VIC) FRIM melalui emel: frim_enquiry@frim.gov.my.
Peraturan, syarat-syarat serta harga yang ditetapkan untuk program ini adalah seperti berikut:
- Setiap pelawat diwajibkan memakai lampu suluh kepala (headlamp) [boleh disewa semasa lawatan]
- Lampu suluh (torch light) dan ‘tripod’ tidak dibenarkan
- Bayaran:
- RM 300 bagi setiap kumpulan (maksimum 20 pelawat setiap kumpulan).
- Harga tiket ‘Forest Skywalk’ seperti dinyatakan di: https://skywalk.frim.gov.my/ticket.cfm.
Caj parkir (RM 5), kemasukan KBG (RM 1) dan kamera DSLR (RM 5) juga dikenakan [www.frim.gov.my/ms/tarikan/pas-tiket-kemasukan/].
Poster promosi ‘Malam di Jejantas Rimba’. | Dari kiri: Noor Azlin; Mohd Khairul; Dr Lillian Chua, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM; Ismail; Dr Wan Mohd Shukri Wan Ahmad, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; dan Norwati semasa pelancaran pakej. |
Gambar berkumpulan peserta lawatan di pejabat Jejantas Rimba. | Pemandangan sekitar Kuala Lumpur dari Jejantas Rimba. |
Maklumat Terkini