8 Disember 2017 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2017 bagi kategori sektor awam.

1dbp

Azharizan (kanan) menerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2017 yang disampaikan oleh Alias sambil diperhatikan oleh Abdul Adzis.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Dato’ Sri Alias Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan kepada Azharizan Mohamad Norizan, Pegawai Penyelidik FRIM di Majlis Anugerah Hari Inovasi DBP 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan sumbangan FRIM terhadap slot ‘Informasi Perhutanan oleh FRIM’ dalam Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi terbitan DBP yang diwujudkan sejak tahun 2010.

Kerjasama penulisan ini dimulakan oleh Program Hutan Asli dan Unit Pengurusan Korporat (CCU) FRIM pada 2009. FRIM dan DBP juga pernah mengadakan Kursus Penulisan Rencana pada 2011 untuk menggalakkan penulisan artikel secara popular serta memastikan sumbangan penulisan berterusan dalam wadah yang disediakan oleh DBP.

2dbp

Dari kanan: Mohd Izwan, Azharizan, Ismail dan Lim bergambar selepas majlis penyampaian anugerah.

Inisiatif ini diteruskan dengan penyelarasan oleh Azharizan yang memastikan para penyelidik FRIM terutamanya dari Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar menyumbangkan 6 hingga 12 artikel setiap tahun. Usaha ini juga mendapat sambutan daripada pegawai-pegawai penyelidik Bahagian Biodiversiti Hutan FRIM mulai 2014 sehingga hari ini. Di samping berkongsi hasil penyelidikan masing-masing, usaha ini telah meningkatkan kompetensi pegawai penyelidik dalam penulisan Bahasa Melayu.

Turut hadir, Datuk Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP; Dr Ismail Parlan, Ketua Program Hutan Asli FRIM; Mohd Izwan Ramlan, Pegawai Penyelidik dan Lim Chung Lu, mewakili CCU.

3dbp

Abd Latif (tengah) dan bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan, Dr Chan Hung Tuck serta Pegawai Penyelidik, Nik Zanariah Nik Mahmood, selepas majlis penyampaian anugerah bagi pihak FRIM pada 2007.

Ketua Pengarah (KP) FRIM Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata pengiktirafan terkini ini merupakan anugerah DBP yang kelima diterima oleh FRIM.

Sebelum ini, FRIM telah beberapa kali mendapat tempat dalam Anugerah Laporan Kencana diikuti dengan laporan tahunan terbaik bagi kategori sektor badan berkanun pada 2007. Anugerah tersebut diterima oleh Abd Latif yang pada ketika itu merupakan Timbalan KP (Operasi) FRIM. Anugerah Laporan Kencana yang diadakan oleh DBP dengan kerjasama Persatuan Badan Berkanun Malaysia sejak 1999 diberikan kepada badan berkanun yang menggunakan bahasa Melayu yang terbaik dalam penulisan laporan tahunan.

“FRIM akan terus menyokong usaha DBP dalam menggalakkan penulisan dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam penyampaian hasil penyelidikan sains,” kata Abd Latif.