MAKLUMAT TERKINI

FRIM terima dua Anugerah Buku Negara
By Published On: April 3, 2019
Dua Anugerah Buku Negara

FI

3 April 2019 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima dua anugerah iaitu ‘Anugerah Buku ASEAN 2019 – Institusi Penyelidikan ASEAN’ dan ‘Anugerah Buku Terbaik (Kategori Flora dan Fauna)’ bagi buku bertajuk, ‘Cantik Namun Beracun’ di majlis Anugerah Buku Negara 2019 pada 1 April lalu.

Khalid (berbaju biru) menyampaikan ‘Anugerah Buku Terbaik’ kepada Abd Latif.  Sijil dan trofi bagi ‘Anugerah Buku Terbaik’ (kiri) dan ‘Anugerah Buku ASEAN 2019’. 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Khalid Abd. Samad, Menteri Wilayah Persekutuan kepada Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod.

“Penerimaan kedua-dua anugerah ini merupakan satu motivasi serta dorongan buat penerbit/penulis FRIM untuk terus konsisten dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi sebagai bahan rujukan dan legasi warisan generasi akan datang.

“Penghormatan yang diterima ini adalah antara usaha memastikan karya dan penulisan FRIM dari setiap lapisan tetap berkualiti dan memberikan impak kepada penyampaian ilmu untuk masyarakat,” kata Abd Latif.

Buku yang dihasilkan bersama oleh Abd Latif, Zawiah Ngah, Othaman Hasin dan Nik Zanariah Nik Mahmood ini mengandungi maklumat mengenai 158 spesies pokok hiasan yang walaupun cantik tetapi sebenarnya beracun! Tumbuhan beracun ialah tumbuhan yang boleh menyebabkan kesakitan, kerengsaan, mabuk dan ada yang boleh menyebabkan kematian jika termakan, terminum atau tersentuh bahagian-bahagian tertentu pokok. Pokok-pokok hiasan yang dikatakan beracun antaranya termasuklah alamanda, bunga cina, bunga matahari dan ekor kucing. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan bagi pengusaha tapak semaian, pelajar, suri rumah atau sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang landskap.

Sejak kewujudannya sebagai badan berkanun, FRIM telah menghasilkan lebih daripada 950 judul bawah penerbitan bersiri. Buku-buku dalam siri Malayan Forest Records dan FRIM Research Pamphlet digunakan sebagai rujukan oleh pelajar, pendidik dan penyelidik di dalam dan luar negara. Penerbitan dalam bentuk lain seperti buku panduan, artikel jurnal, prosiding, tesis, bab buku, dan artikel teknikal/semi-teknikal/bukan teknikal juga sangat menggalakkan, dengan sekurang-kurangnya 386 judul buku dihasilkan.

Dalam menzahirkan hasil penyelidikan kepada komuniti saintifik, FRIM menerbitkan Journal of Tropical Forest Science. Namun, bagi membolehkan penemuan penyelidikan diketahui dengan lebih meluas, terutamanya orang ramai, FRIM telah menggiatkan penulisan dalam bentuk buku mesra ilmu. Hingga kini, FRIM telah menghasilkan lebih daripada 43 buku mesra ilmu dalam pelbagai topik; berkaitan perhutanan dan alam sekitar, kebanyakannya diterbitkan dalam sepuluh tahun yang lalu.

Dari kiri: Nik Zanariah, Zawiah, Othaman dan Abd Latif yang merupakan pengarang buku tersebut.  Staf FRIM bergambar dengan Abd Latif (duduk, tengah) di booth pameran FRIM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. 

Turut hadir, isteri KP FRIM, Datin Halidah Kasmin dan anak, Muhammad Ismail; Liza Ismail, Pengarah Pentadbiran; Pegawai Penyelidik Kanan, Mahmudin Saleh dan staf FRIM lain.

Maklumat Terkini