12 Disember 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima dua lagi sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) pagi tadi. Sijil ini diperoleh atas pengiktirafan FRIM sebagai ‘Institut Penyelidikan Perhutanan yang Pertama di Malaysia’ dan rekod individu untuk Ketua Pengarah (KP) FRIM, YBhg. Dato’ Dr Abd Latif Mohmod sebagai ‘Penyelidik Perhutanan Pertama yang dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Institusi-Institusi Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) buat kali ketiga’.

Kedua-dua sijil ini telah disampaikan oleh Encik Mohamad Alex Edward, Timbalan Pengurus Besar MBR kepada KP FRIM dalam majlis penyampaian yang diadakan di Ibu Pejabat MBR, Kuala Lumpur Sentral. Dengan pengiktirafan ini, FRIM menjadi pemegang sejumlah 37 sijil MBR dan daripada jumlah ini, KP FRIM memegang enam (6) rekod individu. Pengiktirafan MBR merupakan salah satu usaha ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan kesedaran umum tentang kepentingan FRIM sebagai sebuah institusi penyelidikan serta mempamerkan keunikan dan tarikan di FRIM.

pengiktirafan MBR
Abd Latif bersama lima (5) sijil MBR yang diperolehi beliau sebelum ini.
Abd Latif (kanan) menerima sijil MBR yang disampaikan oleh Mohamad Alex.  Abd Latif bersama lima (5) sijil MBR yang diperolehi beliau sebelum ini. 

Abd Latif berkata: “Semoga pencapaian semua MBR ini terus menjadi pemacu semangat untuk bekerja kuat bagi memastikan FRIM kekal unggul, berautoritatif dan relevan sepanjang masa. Pencapaian saya untuk enam (6) MBR setakat ini pula, hanyalah sumbangan kecil sebagai kenang-kenangan saya kepada FRIM dan Malaysia yang dikasihi; dan semoga menjadi pendorong serta cabaran buat generasi penyelidik perhutanan masa hadapan.”

Mohamed Alex berkata: “FRIM satu-satunya jabatan kerajaan yang telah memperoleh 37 rekod, termasuk enam (6) rekod individu yang dipegang oleh Ketua Pengarahnya. Ini satu pencapaian yang luar biasa dan amat membanggakan kerana jarang terdapat jabatan yang memegang lebih 30 rekod.

Gambar berkumpulan bersama (dari kiri) Praveena, Mohamad Alex, Abd Latif dan Toh selepas penyampaian sijil.
Gambar berkumpulan bersama (dari kiri) Praveena, Mohamad Alex, Abd Latif dan Toh selepas penyampaian sijil. 

“Setiap tahun, FRIM berusaha mendapatkan pengiktirafan baharu. Ini menunjukkan FRIM menitikberatkan pencapaian dan pengiktirafan bukan hanya pada peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa. Pencapaian ini menjadikan FRIM sebagai penanda aras kepada organisasi-organisasi kerajaan yang lain.”

Turut hadir, Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Toh An Nee, pegawai penyelidik FRIM, Praveena Balai Kerishnan.