28 Februari 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima lawatan enam wakil delegasi Jepun yang bertujuan berkongsi pengalaman serta mengadakan perbincangan dengan para penyelidik FRIM tentang ‘Access and Benefits Sharing’ (ABS).

Japanese delegation

Dari kiri: Fadzureena, Norini, Mastura dan Nik Musa’adah pada sesi perbincangan.

Delegasi yang datang ke FRIM pada 19 Februari ini terdiri daripada Maho Matsumoto mewakili Kementerian Alam Sekitar Jepun; Dr Manabu Suto (Biological Resource Center), Rie Funabiki (National Institute of Technology and Evaluation); Mutsumi Suzuki (National Institute of Genetics/ABS Task Team for Academia); Dr Yamasaki Takeshi (Makino Herbarium, Tokyo Metropolitan University); dan Michiko Nishikawa (Kedutaan Jepun di Malaysia).

Nor Azah (kiri) menyampaikan sebuah penerbitan FRIM kepada Matsumoto.

Gambar berkumpulan wakil-wakil FRIM dan Jepun.

Dalam perjumpaan yang dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi, Dr Nor Azah Mohamad Ali, Dr Norini Haron yang merupakan Felo FRIM telah membentangkan Projek ‘Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi (TK) Orang Asli ke Arah Perkongsian Faedah’. Antara lain, beliau juga menerangkan usaha FRIM dalam pemeteraian perjanjian ABS dengan sebuah kerajaan negeri serta sub-etnik Orang Asli, sejajar dengan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (Akta 795) 2017.

Beberapa wakil delegasi turut berkongsi pengalaman dan kemajuan ABS di Jepun. Mereka kemudiannya dibawa melawat ke Taman Etnobotani FRIM untuk melihat koleksi tumbuhan ubatan dan beraroma.

Turut hadir, Dr Nik Musa’adah Mustapha, Dr Mastura Mohtar, Dr Fadzureena Jamaludin dan beberapa penyelidik projek TK.

Gambar berkumpulan semasa lawatan ke Taman Etnobotani.