22 Januari 2019 (Selasa) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Abd Latif Mohmod dan Timbalan KP (Penyelidikan), Dr Samsudin Musa telah melawat Pulau Pinang pada 12 Januari lalu untuk membincangkan kemungkinan FRIM membantu kerajaan negeri tersebut dalam pemuliharaan dan pemulihan hutan bakau yang berkaitan dengan cadangan Projek Penambakan Pulau Pinang Selatan.

Gambar berkumpulan wakil-wakil SRS
Wakil SRS Poh Chia Ching
Gambar berkumpulan wakil-wakil SRS, Kerajaan Negeri dan JPNPP. Samsudin (ketiga dari kiri), Rusli (keempat dari kiri) dan Abd Latif (kelima dari kiri).  Wakil SRS Poh Chia Ching memberi taklimat kepada para hadirin. 

Berikutan daripada Program Bicara Teknologi FRIM yang diadakan pada 27 November lalu di Ipoh, Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Rusli Tahir telah menjemput FRIM ke Pulau Pinang untuk meninjau bagaimana pakar-pakar FRIM dapat membantu mempromosikan pemuliharaan hutan dan perlindungan alam sekitar.

Perbincangan ini telah diadakan dengan perunding SRS Consortium, wakil Kerajaan Negeri serta Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Selepas melawat tapak, KP FRIM telah bersetuju secara prinsip untuk membantu pemuliharaan hutan bakau semula jadi seluas 17 ha di Batu Maung. Hutan bakau yang matang dan sihat ini memang unik kerana ia terletak di kawasan pembangunan bandar yang pesat dan masih berada dalam keadaan baik walaupun terdapat pencerobohan baru-baru ini. Kawasan ini terletak di tanah persekutuan dan kini diurus oleh Jabatan Perikanan.

Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan semua pihak berkepentingan untuk memperuntukkan kawasan tersebut sebagai Taman Bakau.

Abd Latif memberi indikasi bahawa FRIM boleh membantu menilai kepelbagaian biologi kawasan tersebut serta memberikan bantuan teknikal dalam meningkatkan nilai ekologi hutan bakau. Sebagai permulaan, FRIM merancang untuk membuat inventori bakau bagi menilai stok dan komposisi flora.

Abd Latif dan Samsudin juga dibawa menilai kawasan bakau di sepanjang pantai dan kawasan dataran lumpur di Telok Tempoyak. Hutan bakau di kawasan ini didapati kurang sihat. KP FRIM juga bersetuju untuk menilai tapak tersebut bagi mempertimbangkan kemungkinan pemulihan.

mangrove conservation in Penang
Abd Latif semasa lawatan tapak. 

“Kami berharap Kerajaan Negeri dan SRS akan dapat memperuntukan lebih banyak dana kepada pemuliharaan sumber hutan berkenaan seiring dengan projek penambakan ini. Ia bukan sahaja memberi kesan positif kepada alam sekitar tetapi juga baik untuk imej mereka. Usaha ini juga akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan rakyat bahawa projek yang akan dilaksanakan ini menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan,” kata Abd Latif.