MAKLUMAT TERKINI

FRIM tubuh Taman Dipterokarpa di stesen penyelidikan Setiu
By Published On: Oktober 29, 2018
FRIM sets up Dipterocarp Garden at Setiu

FRIM sets up Dipterocarp Garden at Setiu research station

24 Oktober 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menubuhkan Taman Dipterokarpa di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Setiu, Terengganu dengan aktiviti penanaman 330 pokok daripada 33 spesies dipterokarpa bersama-sama dengan wakil penduduk setempat semalam. 

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menyempurnakan majlis perasmian ini dengan menanam pokok keruing neram (Dipterocarpus oblongifolius) sebagai acara simbolik. Aktiviti ini melibatkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada kakitangan FRIM dan wakil komuniti setempat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, kampung-kampung serta badan-badan kerajaan negeri. 

Abd Latif (kiri) dan Marzalina menyampaikan ucapan masing-masing.
Dari kiri: Zaidey, Sakri, Abd Latif, Marzalina, Norhayati dan Fadzureena menunjukkan produk GOUTREE.
Abd Latif (kiri) dan Marzalina menyampaikan ucapan masing-masing. Dari kiri: Zaidey, Sakri, Abd Latif, Marzalina, Norhayatidan Fadzureena menunjukkan produk GOUTREE. 

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada Program Penubuhan Taman Dipterokarpa, Penghayatan Alam dan Tanggungjawab Sosial yang dianjurkan bersama oleh Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Bahagian Inovasi dan Komersialisasi serta Unit Komunikasi Korporat FRIM sempena Sambutan Ulang Tahun ke-33 FRIM. 

“Beberapa spesies yang ditanam hari ini merupakan pokok-pokok yang sinonim dengan nama tempat yang terdapat di Malaysia antaranya, pokok chengal (Kampung Lot Gong Cengal, Terengganu), keruing neram (Felda Neram, Terengganu), keladan (Kampung Paya Keladan, Pahang) serta meranti batu/meranti rambai daun (Meranti, Kelantan),” kata Abd Latif.

Menurutnya, program seperti ini diadakan untuk mengetengahkan kepentingan pemuliharaan hutan serta memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kewujudan nama-nama tempat yang sinonim dengan nama tumbuhan.

Abd Latif turut menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Produk Prototaip Antigout, ‘GOUTREE’ yang dihasilkan daripada pokok cucur atap (Baeckea frutescens). Hasil kajian FRIM mendapati ekstrak cucur atap boleh menghalang penghasilan asid urik yang menyebabkan penyakit gout. Cucur atap juga merupakan spesies herba yang biasa ditemui di kawasan pantai timur terutamanya di kawasan berpasir.

Mohamad Fakhri Ishak yang merupakan Penyelaras SPF Setiu juga memberikan penerangan umum kepada para peserta tentang latar belakang serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di SPF tersebut; manakala Dr Fadzureena Jamaludin, Ketua Program Sumber Biologi FRIM pula memberikan taklimat berkenaan produk tersebut.

SPF Setiu ditubuhkan pada 1996 di tanah hak milik kerajaan Negeri Terengganu secara pajakan selama 60 tahun kepada FRIM dengan keluasan 53.27ha. Fokus utama R&D FRIM di stesen ini ialah pemuliharaan dan pengurusan tanah BRIS (Beach Ridges Intersperse with Swales) yang mempunyai kandungan nutrien dan keupayaan memegang air yang sangat rendah. FRIM juga menjalankan kajian bagi mengenalpasti spesies pokok yang bersesuaian dengan tanah BRIS.

Sebahagian daripada peserta bergambar dengan Abd Latif (tengah) semasa aktiviti penanaman pokok di Taman Dipterokarpa.
Fadzureena menerangkan latar belakang dan kebaikan produk GOUTREE.
Sebahagian daripada peserta bergambar dengan Abd Latif (tengah) semasa aktiviti penanaman pokok di Taman Dipterokarpa.  Fadzureena menerangkan latar belakang dan kebaikan produk GOUTREE. 

SPF Setiu telah hampir mencapai matlamat untuk menghijaukan kawasan tersebut. Landskap tanah berpasir di SPF ini telah ditumbuhi dengan pelbagai spesies pokok seperti merawan siput jantan, balau pasir, meranti temak nipis, Acacia dan Khaya yang ditanam menggunakan pelbagai teknik.

Turut hadir, Prof. Madya Dr Sakri Ibrahim, Naib Canselor Kolej Universiti Bestari; Zaidey Abdul Kadir, Penolong Pengarah (Silvikultur dan Perlindungan Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu; Dato’ Dr Marzalina Mansor, Pengarah Bioteknologi Perhutanan FRIM; Norhayati Nordin, Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM; dan Dr Wan Rasidah A Kadir, Ketua Program Hutan Ladang FRIM.

Maklumat Terkini