MAKLUMAT TERKINI

FRIM, UKM bekerjasama dalam aspek perundangan WHS
By Published On: Julai 25, 2019

25 Julai 2019 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memeterai perjanjian bagi kerjasama pembangunan penyelidikan dan implementasi aspek perundangan sempena pencalonan FRIM sebagai tapak warisan dunia (WHS).

 

1
1
Abd Latif (kiri) dan Abdul Wahab menyampaikan ucapan pada majlis. Sebahagian daripada hadirin majlis.

 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut telah diadakan di Green Community Centre, Villa Latifiana, FRIM semalam. FRIM diwakili oleh Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah manakala UKM oleh Prof. Dato’ Ir. Dr Abdul Wahab Mohammad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi).

 

Kerjasama ini melibatkan pengenalpastian aspek perundangan dan peraturan bagi FRIM berkaitan perlindungan alam sekitar hutan warisan, bangunan bersejarah dan persekitaran sosial serta menganalisa dan menilai keberkesanan rangka kerja perundangan dalam melindungi FRIM.

 

1
1
Dari kiri: Ismail, Abd Latif, Abdul Wahab dan Nazura semasa sesi pertukaran dokumen. Gambar berkumpulan semua hadirin majlis bersama Abd Latif (duduk, tengah).

Selain itu, MOU tersebut juga melibatkan penerbitan berkaitan aspek perundangan bagi mendokong proses pengiktirafan sebagai WHS UNESCO yang penting sebagai panduan dasar berkaitan hal-hal perundangan FRIM pada masa hadapan.

 

Sesi pertukaran dokumen MOU turut disaksikan oleh Dr Ismail Parlan, Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; dan Prof. Dr Nazura Abdul Manap, Dekan Fakulti Undang-Undang UKM. Turut hadir, Noorsiha Ayop, Ketua Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM.