27 Mei 2020 (Rabu) – Bagi merekod kemasukan pelawat yang mempunyai urusan rasmi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan memperkenalkan sistem daftar masuk-keluar dan log lawatan secara atas talian melalui kod QR mulai Isnin, 1 Jun 2020.

Imbas sebelum masuk FRIM mulai 1 Jun Imbas sebelum masuk FRIM
Poster dengan kod QR yang perlu diimbas. Pegawal keselamatan akan menunjukkan poster serta membuat saringan suhu badan.

Pelawat rasmi yang sampai di pintu masuk utama FRIM perlu melakukan perkara berikut:

  1. Imbas Kod QR pada poster;
  2. Benarkan pengawal keselamatan FRIM untuk membuat saringan suhu badan;
  3. Isikan nama penuh, nombor telefon, pilih jenis urusan, serta rekodkan suhu badan dalam Sistem; dan
  4. Tunjukkan skrin pengesahan kepada Pengawal Keselamatan.

Pelawat juga digalakkan memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki pintu utama FRIM.

“Inisiatif ini dilaksanakan untuk melindungi warga FRIM, pelawat rasmi serta petugas barisan hadapan. Ia dapat membantu menyalurkan maklumat bagi pengesanan kontak sekiranya terdapat kes positif COVID-19 baharu,” kata Datuk Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM.

Bagi tujuan beriadah, FRIM telah memutuskan untuk membuka Taman Botani Kepong (KBG) dan Taman Warisan FRIM kepada orang ramai pada satu tarikh yang akan diumumkan selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala kampus utama ditutup sehingga akhir tahun.