MAKLUMAT TERKINI

Ismail Parlan, KP ke-5 FRIM
By Published On: Mei 10, 2021

10 Mei 2021 (Isnin) – Dr Ismail Parlan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kelima berkuatkuasa 30 April 2021.

Ismail merupakan Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM sebelum dilantik untuk menggantikan Dr Khali Aziz Hamzah yang telah bersara wajib.

Ismail Parlan, KP FRIM Ke-5

Beliau memulakan kerjaya di FRIM sebagai Pegawai Penyelidik pada 16 Ogos 1996 dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan ekosistem hutan tanah lembap terutamanya hutan paya gambut di Malaysia.

Ismail memperolehi PhD daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009 dan Sarjana (Pengurusan Hutan) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2001.

Beliau lulus dengan Sarjana Muda (Perhutanan) pada 1996 dan dianugerahkan Pingat Emas Canselor selaku graduan terbaik pada Majlis Konvokesyen UPM ke-20.

Beliau telah menghasilkan lebih 200 penerbitan teknikal dan artikel dalam jurnal, buku, garis panduan serta laporan.

Ismail menerima Anugerah Khidmat Cemerlang FRIM pada 2004 dan 2017 serta anugerah-anugerah berkumpulan (projek-projek penyelidikan dan penerbitan) yang lain.

Beliau juga merupakan wakil FRIM dan negara untuk forum antarabangsa seperti International Tropical Timber Council (ITTC, ITTO), United Nations Forum on Forests (UNFF), Asia Pacific Forestry Commission (APFC), Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) Experts Group on Illegal Logging and Associated Trade (EGILAT) dan Sino-ASEAN Network of Forestry Research Institutes (SANFRI) di bawah Asia-Pacific Network for Sustainable Forest Management and Rehabilitation (APFNet).

Pada masa ini, Ismail merupakan Ahli Lembaga dan pernah turut menjawat jawatan sebagai Bendahari Kehormat bagi Institut Rimbawan Malaysia (IRIM) serta Ahli Silih Ganti Lembaga Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ).

Bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-72 DYMM Sultan Selangor, beliau telah dianugerahkan Pingat Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) pada 11 Disember 2017.

Maklumat Terkini