4 September 2020 (Jumaat) – Dr Khali Aziz Hamzah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) keempat berkuat kuasa 1 September 2020.

Beliau menerima watikah pelantikan daripada YB Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pagi tadi di Kuala Lumpur.

Turut hadir, YB Ali Biju, Timbalan Menteri KeTSA; dan Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha KeTSA.

Khali Aziz, KP keempat FRIM. Dari kiri: Ali, Khali Aziz, Shamsul Anuar dan Zurinah semasa majlis penyampaian watikah pelantikan.

Khali Aziz merupakan Timbalan KP (Operasi) FRIM sebelum dilantik sebagai KP menggantikan Datuk Dr Abd Latif Mohmod yang bersara wajib pada 28 Ogos lalu.

Beliau menyertai FRIM pada Oktober 1986 sebagai Pegawai Penyelidik dalam bidang penderiaan jauh (remote sensing).

Beliau mempunyai PhD yang diperoleh dari University of Reading, United Kingdom pada 1997. Beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang penderiaan jauh, ‘Geographic Information System (GIS)’, pemuliharaan dan pengurusan hutan paya gambut serta pemantauan dan pengurusan sumber hutan.

Sebelum pelantikan ini, Khali Aziz merupakan Pengarah Hasilan Semula Jadi (BHS) pada 2017; Pengarah Inovasi dan Komersialisasi (2015-2017) serta Pengarah Perkhidmatan Teknikal (2013-2017).