MAKLUMAT TERKINI

KP FRIM terima Anugerah Tokoh R&D
By Published On: Disember 16, 2016

Anugerah-Ikon

16 Disember 2016 (Jumaat) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menerima Anugerah Perdana bagi kategori Tokoh Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) 2016 daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Abd Latif (ketiga dari kanan) menerima trofi anugerah daripada Mustapa (ketiga dari kiri) di upacara penyampaian anugerah.

Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyampaikan anugerah tersebut di upacara yang diadakan sempena Majlis Pelancaran Buku Dikir Barat di Persidangan Buku Antarabangsa 2016 semalam.

Persidangan anjuran bersama YPBN, IIUM Press, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 14-15 Disember.

Abd Latif (tengah) bergambar bersama isteri dan anaknya selepas penyampaian anugerah Tokoh R&D pada 15 Disember.

Abd Latif juga menerima Anugerah Buku Negara (Buku Teknikal Terbaik) bagi buku bertajuk, ‘Sinonim Nama Tempat Dengan Nama Tumbuhan’ yang dihasilkan bersama Dr Ahmad Zuhaidi Yahya, Zawiah Ngah, Nik Zanariah Nik Mahmood dan Othaman Hasin.

Abd Latif (tengah) bergambar bersama Tajuddin (kiri) dan Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Panel Anugerah Buku Negara.

Abd Latif juga menerima Anugerah Buku Negara (Buku Teknikal Terbaik) bagi buku bertajuk, ‘Sinonim Nama Tempat Dengan Nama Tumbuhan’ yang dihasilkan bersama Dr Ahmad Zuhaidi Yahya, Zawiah Ngah, Nik Zanariah Nik Mahmood dan Othaman Hasin.

Anugerah ini disampaikan oleh Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sempena Majlis Perasmian Ekspo Buku Malaysia, Persidangan Buku Antarabangsa dan Anugerah Buku Negara pada 14 Disember lalu.

“Saya berasa amat bangga dan berbesar hati atas penerimaan kedua-dua anugerah ini. Saya berharap kejayaan kami ini akan memberi insipirasi dan motivasi kepada lebih ramai orang terutamanya generasi muda untuk membaca dan menulis,” kata Abd Latif yang juga merupakan penerima Anugerah Perdana bagi kategori Tokoh Buku Penyelidikan pada 2015.

Dari kiri: Norhayati, Othaman, Zawiah, Halidah, Abd Latif, Ahmad Zuhaidi, Ismail dan Nik Zanariah bergambar bersama selepas majlis pada 14 Disember.

Tambah beliau, buku ‘Sinonim’ adalah hasil aspirasi yang beliau bangkitkan dalam Majlis Biodiversiti Negara pada 2013 untuk dijadikan rujukan kebangsaan serta mempromosikan usaha pemeliharaan pokok-pokok tradisi di Malaysia.

Buku yang mempunyai 354 muka surat ini memaparkan nama tempat yang sinonim dengan 149 tumbuhan di Malaysia. Ada nama tempat yang dinamakan sempena nama pokok mengikut sebutan atau loghat sesuatu lokasi. Turut dilampirkan adalah senarai spesies bunga-bungaan dan sayur-sayuran popular yang sinonim dengan nama tempat; senarai nama tempat mengikut negeri yang sinonim dengan nama tempatan tumbuh-tumbuhan; serta senarai tempat mengikut negeri yang sinonim dengan nama saintifik tumbuh-tumbuhan.

Buku ini merupakan penerbitan FRIM kelima yang memenangi Anugerah Buku Negara. FRIM telah memenangi Anugerah Buku Negara (Buku Teknikal Terbaik) bagi buku bertajuk ‘FRIM Tapak Warisan Semula Jadi Negara’ pada 2010 dan ‘Wild Orchids of Peninsular Malaysia‘ pada 2012. Pada 2013, FRIM memenangi Anugerah Industri Buku (kategori Sains) bagi ‘99 Spesies Buah di FRIM’ dan Anugerah Perdana (kategori Penyelidikan) untuk ‘FRIM Warisan Kebangsaan’.

Turut hadir di majlis semalam, Datin Halidah Kasmin, isteri KP FRIM dan anak mereka, Muhammad Ismail; Datuk Dr Rahim Sudin, Timbalan KP (Operasi) FRIM; Dr Nur Supardi Md Noor, Pengarah  Perancangan Penyelidikan; Dr Richard Chung, Ketua Program Biodiversiti Flora; serta Norhayati Nordin, Ketua Komunikasi Korporat.

Maklumat Terkini