11 Januari 2021 (Isnin) – Dr Khali Aziz Hamzah, Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah melancarkan Program Penghijauan Malaysia  – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat FRIM semasa Perhimpunan Bulanan FRIM pagi tadi.

Sebagai gimik pelancaran, beliau menanam pokok tongkat ali (Eurycoma longifolia). Turut bersama-sama untuk menanam pokok, Dato’ Dr Marzalina Mansor, Timbalan KP (Penyelidikan) dan Dr Noor Azlin Yahya, Timbalan KP (Operasi).

Khali Aziz (kiri) dan Noor Azlin.
Staf FRIM berikrar.
Khali Aziz (kiri) dan Noor Azlin menyampaikan ucapan masing-masing. Staf FRIM berikrar untuk mempertahankan dan memperkukuhkan integriti perkhidmatan awam.

Dalam ucapannya, Khali Aziz berkata FRIM menyasarkan penanaman 100,000 pokok dalam menyokong kempen anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 5 Januari lalu.

Selain itu, beliau berkata bahawa hala tuju penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan R&D perhutanan; pemerkasaan pengkomersialan hasil R&D; mengarusperdanakan pemuliharaan biodiversiti; serta mempertingkatkan penyediaan perkhidmatan teknikal, nasihat dan pakar runding berkaitan perhutanan dan industri hutan.

Khali Aziz mengingatkan warga FRIM supaya terus mengamalkan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja. Namun begitu, segala perkhidmatan teknikal dan aktiviti R&D perlu diteruskan bagi memenuhi keperluan pelanggan serta pihak berkepentingan.

Noor Azlin yang turut dijemput untuk menyampaikan ucapan berkata: “Saya faham tugas TKPO adalah sangat mencabar dan merangkumi skop pengurusan FRIM yang luas. Yang mana termasuk juga pengurusan kampus FRIM yang sememangnya telah lama berada di hati saya.”

Semasa upacara penanaman pokok.
Ahli-ahli Pengurusan Tertinggi FRIM 2021.
Dari kiri: Marzalina; Khali Aziz; Mohd Afendi Hussin, pakar arboris FRIM; dan Noor Azlin semasa upacara penanaman pokok. Ahli-ahli Pengurusan Tertinggi FRIM bergambar selepas pelancaran Program Penghijauan Malaysia peringkat FRIM.

Beliau berjanji akan bersungguh-sungguh dalam memenuhi semua tanggungjawab yang diamanahkan agar aspirasi FRIM, KeTSA dan negara dapat dicapai dengan bantuan dan sokongan semua pihak.

Sempena majlis tersebut, staf FRIM turut mengambil ikrar yang dipimpin oleh Ariff Fahmi Abu Bakar, wakil Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Pekerja untuk mengekalkan integriti dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.

KP juga melancarkan ‘Klasifikasi Fail FRIM’ dan menyerahkan buku-buku tersebut kepada pengarah-pengarah bahagian.