19 Februari 2018 (Isnin) – Lima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) yang diterima Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod baru-baru ini telah menyempurnakan sasaran FRIM untuk mendapat 33 rekod MBR sempena Ulang Tahun ke-33 FRIM tahun ini.

Abd Latif bergambar bersama lima sijil MBR yang diterima.

Dua sijil pengiktirafan MBR telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Wong semasa majlis perasmian FRIM Inc pada 2 Februari lalu. 

Pada Januari lalu, Timbalan Pengurus Besar MBR, Mohamad Alex Edward telah menyampaikan tiga sijil MBR kepada Abd Latif di pejabat KP. Abd Latif telah menerima lima pengiktirafan atas pencapaian berikut:

  • Saintis Perhutanan Pertama menerima Anugerah Saintis Muda Negara;
  • Saintis Perhutanan Pertama menerima dua Anugerah Sains Kebangsaan;
  • Saintis Perhutanan Termuda menerima Anugerah Pencapaian Saintifik IUFRO;
  • Saintis Perhutanan Pertama menerima Anugerah Tokoh Buku Penyelidikan; dan
  • Saintis Perhutanan Pertama menerima Anugerah Tokoh Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Gambar berkumpulan wakil-wakil FRIM dan MBR di Rumah Acacia mangium selepas pemeriksaan tapak.

KP FRIM memenangi Anugerah Tokoh Buku Penyelidikan (2015) dan Anugerah Tokoh R&D (2016) daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara bagi mengiktiraf sumbangan beliau yang mempelopori usaha menterjemah penerbitan saintifik FRIM kepada bentuk buku-buku Mesra ilmu (Coffee-table books) yang lebih mudah difahami.

Buku panduan pemindahan bahan tanaman yang dihasilkan oleh Lee dan pasukan beliau.

Dua lagi MBR yang diterima FRIM baru-baru ini termasuk, ‘Garis Panduan Pemindahan Bahan Tanaman yang Pertama untuk Spesies Hutan Tropika’, hasil usaha pasukan penyelidik bioteknologi dan biodiversiti FRIM yang diketuai oleh Dr Lee Chai Ting; dan ‘Bangunan Pertama Dibina Menggunakan Kayu Acacia mangium’, hasil kajian pasukan penyelidik diketuai oleh Dr Hamdan Husain.