27 Mac 2019 (Rabu) – Majlis Hash Malaysia (MHC) telah menasihati ahli-ahlinya untuk menghentikan aktiviti Hash House Harriers (HHH) dalam kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong.

Pengerusi MHC, Chong Boon Ee berkata majlis tersebut akan mengeluarkan peringatan kepada semua cawangan supaya menjalankan aktiviti mereka tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan. Ditubuhkan pada 1996 oleh sekumpulan Hashers senior, MHC mempunyai 220 cawangan hash di seluruh negara.

Chong dan Setiausaha Kehormat MHC, Rajinder Agnihotri telah dijemput ke FRIM, Kepong pada 25 Mac untuk perbincangan mengenai isu pencerobohan oleh ahli HHH. Turut hadir, Pegawai Media, Lim Chung Lu dan staf Program Hutan Ladang, Siti Noratikah Mustafa.

1
Liza (kedua dari kanan) menunjukkan gambar pencerobohan kepada (dari kiri) Rajinder dan Chong dengan diperhatikan oleh Toh (paling kanan).

Mereka disambut oleh Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Toh An Nee ke Bilik Mesyuarat Hopea untuk mesyuarat bagi mendapatkan kerjasama MHC dalam menyelesaikan masalah pencerobohan yang berulang.

Pengarah Pentadbiran FRIM, Liza Ismail yang menyertai mesyuarat ini kemudian telah memberi butiran kes-kes melibatkan beberapa cawangan HHH yang dikesan oleh pasukan penguatkuasaan FRIM sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kertas-kertas yang dibuang sepanjang laluan serta tumbuhan dan harta benda yang dirosakkan telah turut dikesan. Beliau juga menunjukkan gambar-gambar yang diambil semasa operasi-operasi penguatkuasaan.

Selepas beberapa amaran diabaikan, beliau mengetuai pasukan penguatkuasa FRIM dengan sokongan polis untuk menjalankan operasi pada Januari lepas di mana 13 orang ahli Friday Hash House Harriers & Harriettes ditangkap di kampus FRIM. Mereka dibawa ke Balai Polis Desa Jaya tetapi dibebaskan pada malam yang sama selepas bersetuju menandatangani permohonan maaf bertulis dan berjanji tidak akan mengulangi tindakan ini.

1
Gambar berkumpulan (dari kiri) Siti Noratikah, Toh, Rajinder, Chong, Liza dan Lim.

Berikutan itu, Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah memberi amaran bahawa tiada lagi kompromi untuk penceroboh.

Liza menjelaskan bahawa FRIM adalah institut penyelidikan yang membuka pintu kepada orang ramai untuk aktiviti rekreasi. Walau bagaimanapun, FRIM juga merupakan warisan semula jadi dan kebangsaan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora terancam. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan pemuliharaan hutan FRIM untuk generasi akan datang, tambah beliau.

Chong berkata MHC menyedari insiden Januari lalu dan telah menasihatkan semua cawangan untuk memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan ketika menjalankan aktiviti mereka. Beliau percaya mereka yang telah menceroboh kampus FRIM adalah kumpulan yang tidak dikaitkan dengan MHC seperti Friday HHH. Sebagai tindak balas kepada aduan mengenai penggunaan kertas untuk menandakan laluan hash, beliau berkata amalan itu berkesan untuk mengelakkan ahli daripada hilang. Namun, peranan sweeper yang merupakan ahli terakhir pada larian diperkenalkan untuk mengutip kertas yang tertabur.

Beliau berkata MHC akan mengeluarkan notis nasihat kepada semua cawangan seluruh negara untuk menghormati peraturan yang ditetapkan oleh pemilik, pemegang taruh pelbagai hutan termasuk FRIM.