17 April 2019 (Rabu) – YB Dr Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah menyempurnakan sambutan Hari Anugerah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 2018 di kampus FRIM, Kepong semalam.

menyampaikan ucapan masing-masing
KP menyampaikan cenderahati kepada Xavier
Xavier (kiri) dan Abd Latif menyampaikan ucapan masing-masing.  Abd Latif (kedua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Xavier dengan diperhatikan oleh (dari kiri) Samsudin, Zurinah dan Khali Aziz.

Beliau diiringi oleh Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha (KSU) KATS; Dato’ Suhaimi Mamat, Timbalan KSU (Tanah dan Sumber Asli); Dato’ Wan Mazlan Wan Mahmood, Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan; Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM; Dr Samsudin Musa, Timbalan KP (Penyelidikan); dan Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi). Turut hadir, Barisan Anggota Institut FRIM, wakil-wakil KATS, pengurusan tertinggi FRIM dan warga FRIM.

Majlis tersebut diadakan untuk meraikan warga FRIM yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Seramai 119 penjawat awam FRIM telah terpilih untuk menerima anugerah kecemerlangan dalam 10 kategori berlainan yang bukan hanya dinilai dari segi usaha dalam bidang tugasan, tetapi turut merangkumi aspek sosial, kesukanan dan semangat berpasukan.

Dari kiri: Wan Tarmeze, Fadzureena, Elizabeth dan Adnan menerima anugerah masing-masing daripada Xavier (berbaju biru). 

Dr Wan Tarmeze Wan Ariffin dan Dr Raja Barizan Raja Sulaiman merupakan penerima Anugerah Saintis Terbaik FRIM 2018 manakala Anugerah Penyelidikan Terbaik dimenangi kumpulan penyelidik projek ‘Developing and implementing a national access and benefit sharing framework in Malaysia’ yang diketuai oleh Dr Fadzureena Jamaludin. Anugerah KP pula diterima oleh Dr Elizabeth Philip dan Adnan Mohammad.

Bersempena dengan majlis ini, FRIM juga mengadakan Perhimpunan Bulanan dan Majlis Jasamu Dikenang untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada Sembilan pesara dan bakal pesara sebagai penghargaan atas segala jasa dan khidmat bakti mereka.