16 Jun 2020 (Selasa) – YB Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah melancarkan buku bertajuk, ‘Tasik Chini Biosphere Reserve–Conservation by FRIM & NAHRIM’ di Tasik Chini, Pahang, pada 14 Jun lalu sempena lawatan kerja beliau ke negeri Pahang.

Buku mesra ilmu tersebut dihasilkan untuk berkongsi aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di Tasik Chini dari 2011 sehingga 2018.

Dari kiri: Zurinah, Shamsul Anuar, Abd Latif, Mohd Sharkar dan Mohd Hizamri.
Shamsul Anuar melancarkan buku.
Dari kiri: Zurinah, Shamsul Anuar, Abd Latif, Mohd Sharkar dan Mohd Hizamri semasa pelancaran buku. Shamsul Anuar melancarkan buku sambil diperhatikan oleh Abd Latif.

Dengan kandungan yang kaya dengan informasi, buku ini merupakan bahan rujukan yang penting bagi pengurus hutan dan tasik, para penyelidik dari dalam dan luar negara, ahli akademik, pelajar serta orang awam.

Turut hadir pada majlis pelancaran, Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha KeTSA; YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco Kerajaan Negeri Pahang; Dato’ Mohd Ridza Awang, Ketua Pengarah (KP) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM); Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang; serta Datuk Dr Abd Latif Mohmod, KP FRIM, yang juga merupakan salah seorang penyunting buku tersebut.

Buku mengetengahkan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan FRIM dan NAHRIM di Tasik Chini.
Buku mengetengahkan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan FRIM dan NAHRIM di Tasik Chini.

FRIM bersama JPSM telah menjalankan aktiviti penghutanan semula bagi mengukuhkan tebing Sungai Chini dengan penanaman pelbagai spesies buluh, pokok hutan dan buah-buahan di sepanjang sungai. FRIM juga terlibat dalam usaha penanaman semula teratai yang merupakan spesies ikonik tasik tersebut.

Projek-projek penyelidikan dan pemuliharaan FRIM memastikan kelestarian sumber asli dan biodiversiti tasik ini yang merupakan rizab ‘UNESCO Man and Biosphere (MAB)’ di Malaysia.