MAKLUMAT TERKINI

Menteri NRECC rasmikan Jejantas Rimba FRIM
By Published On: Ogos 2, 2023

3 Julai 2023 (Isnin) – YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah merasmikan Jejantas Rimba sempena lawatan kerja ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada 27 Jun lalu.

Jejantas Rimba atau dikenali sebagai ‘Forest Skywalk’, iaitu satu tarikan ekopelancongan utama FRIM. Tarikan tersebut membantu menyokong industri pelancongan negara ke arah mempromosikan kelestarian sumber biodiversiti negara.

Ia merupakan struktur pertama yang dibina menggunakan aluminium yang dibuka kepada orang awam bagi tujuan ekopelancongan di Malaysia. Dengan adanya produk baharu untuk aktiviti ekopelancongan ini, para pengunjung akan dapat menikmati pengalaman berada di atas silara hutan di dalam persekitaran hutan tropika buatan manusia yang terbesar di dunia.

Jejantas yang berukuran 18-50 m tinggi dan 250 m panjang ini mula beroperasi pada 31 Ogos 2020. Projek pembinaan jejantas ini dibiayai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)

Nik Nazmi juga melancarkan rangkaian produk penghalau serangga jenama Ciera yang diberdayakan oleh teknologi FRIM. Usahasama strategik bersama syarikat Nature Profusion Sdn Bhd selaku rakan komersial terbukti berjaya mempercepat hasrat kerajaan untuk memasyarakat output penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan. Produk ini telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau turut menyaksikan penyerahan Sijil Pendaftaran Varieti Baharu Tumbuhan dan Pemberian Hak Pembiak Baka klon FAFAF01 oleh Azreen Basir, Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian (DOA) merangkap Setiausaha Lembaga Varieti Tumbuhan kepada Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM.

FAFAF01 iaitu baka elit kacip fatimah merupakan varieti tumbuhan herba baharu dipatenkan di bawah Plant Variety Protection (PVP) yang dikawal selia oleh DOA. Baka tersebut mempunyai kadar pertumbuhan yang baik dan mempunyai bahan kimia aktif yang tinggi.

Nik Nazmi juga menanam pokok damar minyak (Agathis borneensis) sebagai acara simbolik bagi memperingati lawatan ini.

Turut hadir, Dato’ Rosli Isa, Ketua Setiausaha NRECC; YB Elizabeth Wong, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan; Mohd Khairul Kassim Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana MOTAC; Awang Daik Mohd Nor, Pegawai Unit Pentadbiran, Kewangan dan Prasarana Pelancongan MOTAC Selangor; dan Mohammad Farish Nizar Othman, Pengarah Pembangunan Teknologi, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Nik Nazmi, Ismail and Rosli at the Forest Skywalk Pix of the tree planting ceremony at the Kepong Botanic Gardens
Dari kanan: Nik Nazmi, Ismail dan Rosli di Jejantas Rimba. Gambar semasa upacara penanaman pokok di Taman Botani Kepong.
Pix of the Ciera product launch
Gambar pelancaran produk Ciera (kiri) dan penyerahan Sijil Pendaftaran Varieti Baharu Tumbuhan dan Pemberian Hak Pembiak. 

Maklumat Terkini